Mee Kari Simple Yang Sedap dan Mudah

Assalamualaikum.. Puasa kedua hari ni saya nak berbuka dengan mee kari. Dah lama pun tak makan mee kari. Mee kari yang saya nak buat hari ni sangat senang dan cepat disediakan. Sesuai la untuk sesiapa yang balik kerja lewat tapi nak sediakan juadah berbuka yang best.

Selain menggunakan resepi kuah kari yang saya kongsikan kat bawah ni, korang juga boleh mencuba resepi kari tanpa santan yang pernah saya kongsikan sebelum ni. Cuma perlu tambahkan bahan lain seperti tauhu, fishcake, sayur dan sebagainya mengikut citarasa masing-masing. Resepi kari tanpa santan ni di ajar oleh mak mertua saya. Walaupun ianya tidak menggunakan santan, tapi ianya masih pekat dan sedap.

Ok sesiapa nak buat mee kari @ bihun kari boleh la cuba resepi yang simple ni. Boleh tengok video kat bawah ni untuk lebih senang faham cara untuk menyediakan mee kari simple ni.

Bahan-bahan Mee Kari:

  • Mee/bihun secukupnya (celur)
  • 1 mangkuk kecil ayam (potong kecil)
  • 1 biji bawang merah besar (tumbuk)
  • 2 ulas bawang putih (tumbuk)
  • 2 cm halia (anggaran)
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 biji bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 2-3 tangkai daun kari
  • 6 sudu besar serbuk kari (bancuh dengan sedikit air menjadi pes)
  • 4 cawan santan
  • Air (jika perlu)
  • Garam secukupnya
  • Bahan perasa secukupnya
  • Sedikit tauhu kering/basah (potong kecil)
  • 2 batang fish cake (hiris nipis)

Bahan hiasan:

  • Taugeh (celur)
  • Sawi (celur)
  • Telur rebus (potong 2@4)
  • Cili besar merah (hiris)
  • Bawang goreng

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali/periuk. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sebentar.
  2. Kemudian masukkan bawang merah, bawang putih, halia dan daun kari. Tumis sehingga naik bau.
  3. Masukkan pes serbuk kari. Tambahkan garam. Kacau sehingga garing.
  4. Masukkan ayam. Kacau sehingga ayam sedikit masak.
  5. Masukkan santan pekat dan santan cair. Tambah air jika perlu. Kacau kuah dan tunggu sehingga mendidih.
  6. Masukkan tauhu dan fish cake. Tambah bahan perasa jika suka. Kacau sebentar dan tutup api.

Cara hidangan:

  • Letakkan mee/bihun yang telah di celur ke dalam mangkuk. Masukkan kuah. Tambahkan sawi dan taugeh. Tabur cili dan bawang goreng jika suka.

Tips:

  • Masukkan garam semasa menumis pes kari supaya warna kuah akan nampak cantik.
  • Taugeh yang telah dicelur perlu direndam segera di dalam air sejuk untuk mengekalkan kerangupan taugeh.

Selamat memasak ye kengkawan ??


Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

1 Comment »

Leave a Reply