Bomboloni dengan Krim Pastri Lembut dan Sedap

Assalamualaikum. Bomboloni adalah donat Itali yang dipenuhi dengan inti yang pelbagai. Ia dimakan sebagai makanan ringan atau pencuci mulut. Resepi ni menjadi viral sejak kebelakangan ni. Dalam resepi ni saya membuat bomboloni bersama krim pastri sebagai intinya. Boleh pelbagaikan intinya mengikut citarasa masing-masing. Ada yang menggunakan nutella, coklat, kastard dan lain-lain. bomboloni

Telur di dalam resepi bomboloni ni berfungsi sebagai pelembut doh. Jika tak nak menggunakan telur, boleh gantikan dengan 1 sudu kecil pelembut doh. Pelembut roti boleh didapati di sesetengah pasaraya atau pun di kedai-kedai yang menjual alatan kek.

Satu adunan resepi ni boleh dapat lebih kurang 10 biji bomboloni bersaiz biasa. Kalau nak banyak boleh gandakan bahan-bahan kecuali telur. Cukup setakat sebiji telur untuk digunakan dengan 4 cawan tepung. Boleh tambah atau kurang susu segar dan juga tepung jika doh terlalu keras atau terlalu lembik. Tapi doh jangan terlalu keras. Biarkan ia lembut untuk mendapatkan bomboloni yang lembut. Uli lama untuk mendapatkan hasil yang terbaik, lembut dan gebu.

Sebelum mencuba resepi bomboloni ni, jom tengok dulu video penyediaan bomboloni kat bawah ni. Jangan lupa subscribe YouTube channel buat orang lapo ye?

Bahan-Bahan Bomboloni:

  • 1/2 Cawan Susu Segar (Suam-Suam Kuku)
  • 2 Sb Gula
  • 1 Sb Yis
  • 2 Cawan Tepung Gandum
  • 1/2 sk Garam
  • 1 sk Esen Vanila
  • 1 Biji Telur
  • 2 Sb Mentega (Sejuk)

Cara-cara:

  1. Kacau gula dan yis di dalam susu segar. Biarkan sehingga yis kembang dan berbuih. Lebih kurang 15-20 minit.
  2. Campurkan tepung dengan garam, esen vanila dan telur. Pukul atau uli dengan tangan sehingga rata.
  3. Masukkan susu tadi ke dalam adunan tepung. Pukul atau uli sehingga sebati.
  4. Masukkan mentega sejuk ke dalam adunan dan pukul lagi atau uli sehingga adunan tidak melekat di tangan.
  5. Rehatkan adunan sehingga kembang 2 kali ganda lebih kurang 60 minit.
  6. Setelah kembang, leperkan adunan lebih kurang 1cm dan tekap bulat.
  7. Biarkan doh kembang seketika.
  8. Panaskan minyak dan goreng doh tadi sehingga garing. Minyak jangan terlalu panas kerana doh akan cepat rentung. Gunakan api sederhana kecil untuk menggoreng.
  9. Terbalikkan doh setelah sebelahnya garing. Jangan terbalikkan banyak kali kerana ia akan menyerap minyak.
  10. Angkat dan biarkan ia sejuk seketika sebelum di masukkan inti.

Bahan Krim Pastri :

  • 1/2 Cawan Krim Putar Bukan Tenusu (whipping cream)
  • 3 Biji Kuning Telur
  • 6 Sb Gula
  • 1 Cawan Susu Segar
  • 1 sk Esen Vanila
  • 3 Sb Tepung Gandum

Cara-cara:

  1. Pukul kuning telur bersama gula sehingga putih dan berkrim.
  2. Masukkan susu segar dan esen vanila. Kemudian kacau sebati.
  3. Masukkan pula tepung gandum dan kacau sehingga tepung sebati.
  4. Masak adunan ssehingga menjadi likat. Sentiasa kacau supaya adunan tidak berketul. Sejukkan adunan setelah pekat. (tutup permukaan atas adunan dengan plastik supaya adunan tidak mengeras di atasnya)
  5. Pukul krim putar sehingga kental. Masukkan ke dalam adunan pertama tadi dan kaup balik sehingga rata.
  6. Masukkan krim ke dalam piping bag dan pipe ke dalam donut yang telah sejuk tadi.

Tips:

  • Uli adunan lebih kurang 10 minit. Rehatkan 5 minit. Kemudian uli lagi 10 minit. Rehatkan lagi. Ulang langkah ini 2@3 kali. Kemudian rehatkan doh lebih kurang 60 minit atau sehingga kembang 2 kali ganda. (tips untuk mendapatkan doh yang lembut jika tidak mempunyai mesin pengadun).

bombolonibombolonibomboloni


Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo

6 Comments »

    • 2 cwn tepung dlm resepi ni lebih kurang 250g. Nak buat 1kg kali 4 semua bahan kecuali telur. Telur guna 2 biji pun ok.

Leave a Reply