Kek Butter Pelangi Mudah Yang Pasti Menjadi

Assalamualaikum. Hari ni saya nak kongsikan resepi kek butter pelangi mudah. Kek butter ni memang kek ‘legend’ sebab saya pasti semua orang menggemari kek butter tidak kiralah dari orang tua, dewasa sampai la kanak-kanakkan? Hehe. Rasa kek butter ni tetap sedap walaupun tidak menggunakan banyak bahan dan baunya pun wangi satu rumah kalau baru lepas keluar dari oven. Lagi-lagi kalau makan semasa panas, memang sedap sangat dan dihidang pula dengan air teh o panas, memang nikmat tak terkata! Hehe. Saya dan keluarga pun penggemar kek butter ni.

Sebenarnya ada pelbagai cara dan bahan untuk membuat kek butter ni. Saya pernah kongsikan resepi kek butter yang menggunakan serbuk santan sebelum ni tapi kali ni saya nak kongsikan kek butter pelangi yang lagi mudah dan senang untuk dibuat dengan hanya menggunakan 5 bahan sahaja.

5 bahan yang saya gunakan untuk kek ni cukup untuk menghasilkan kek butter yang sedap dan lembut. Dalam resepi ini saya gunakan buttercup. Korang boleh gunakan butter dari jenama lain ataupun tukar kepada butter premium seperti anchor, scs, tatura, lurpak atau sebagainya mengikut kesukaan masing-masing. Saya menggunakan snow powder untuk hiasan kek butter ini. Korang juga boleh gunakan bahan hiasan yang lain seperti kacang badam, serbuk koko, coklat urai atau sebagainya mengikut kreativiti masing-masing.

Kalau nak lagi mudah dan senang faham cara membuat kek butter pelangi ni, boleh tengok video yang saya sediakan di atas. Kalau nak resepi lain yang lebih sedap, mudah dan best, jom subscribe YouTube Channel kami dan jangan lupa like Facebook kami yea.

Bahan-bahan kek butter:

  • 250 gm Butter
  • 180 gm Gula Kastor
  • 4 biji Telur Gred A
  • 1 sk Esen Vanilla
  • 210 gm Tepung Naik Sendiri (diayak)

Cara-cara membuat kek butter:

  1. Putar butter, gula kastor dan esen vanilla sehingga gebu dan ringan.
  2. Masukkan telur satu persatu sehingga habis sambil terus memutar.
  3. Kemudian, masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga habis dan putar dengan kelajuan perlahan sehingga adunan sebati.
  4. Asingkan adunan kepada beberapa bahagian dan warnakan setiap satu bahagian dengan warna pilihan yang disukai.
  5. Sediakan loyang bersaiz 7 @ 8 inci. Sapu merjerin dan alaskan dengan baking paper. Lapiskan adunan ke dalam loyang secara berselang seli sehingga habis.
  6. Bakar adunan pada suhu 180ºc selama 45-50 minit atau sehingga masak bergantung pada oven masing-masing. Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu lebih kurang 10 minit.
  7. Apabila kek telah masak, sisip tepi loyang dengan pisau dan terbalikkan kek di atas redai dan biarkan beberapa minit sebelum diterbalikkan semula supaya kek tidak mendap.

Tips:

  • Pastikan butter dan gula dipukul sehingga kembang dan ringan sebelum  masukkan bahan lain untuk menghasilkan kek yang gebu.
  • Semasa memasukkan tepung, putar adunan dengan kelajuan perlahan dan jangan putar adunan terlalu lama supaya kek tidak mampat dan mendap selepas di bakar.
  • Tepung naik sendiri boleh digantikan dengan tepung gandum yang dicampurkan dengan 1 sk baking powder dan 1 sk soda bikarbonat dan perlu di ayak terlebih dahulu.
  • Semasa melapiskan adunan di dalam loyang boleh letakkan 3 atau 4 sudu adunan bagi setiap warna untuk menghasilkan lapisan yang lebih tebal.
  • Manakala untuk lapisan yang lebih nipis memadai dengan meletakkan 1 sudu adunan bagi setiap warna.

kek butter pelangi
kek butter pelangi
kek butter pelangi

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Leave a Reply