Ayam Masak Cili Kering Sedap Tak Terkata

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Hari ini saya nak kongsikan resepi yang berasaskan ayam. Selalunya kita masak ayam dengan cili buat sambalkan? Apa kata, kali ni kita masak ayam dengan cili kering pula. Jom saya kongsikan resepi yang mudah dan ringkas ini untuk semua yang ingin mencuba masakan ala-ala chinese ni.

Ayam masak cili kering ni mudah dan senang je nak sediakannya. Kalau ada sesiapa yang baru nak cuba belajar memasak tu sesuai sangat buat resepi ni. Hehe. Dalam resepi ini saya gunakan ayam yang digoreng dahulu dengan tepung goreng segera. Kalau takde tepung goreng segera memadai goreng ayam dengan garam dan kunyit sahaja. Ataupun boleh juga guna tepung jagung untuk mendapatkan ayam yang rangup. Boleh rujuk pada resepi ayam goreng korea ni untuk buat salutan ayam rangup.

Kemudian saya menggunakan cili kering, cili padi, daun kari, beberapa jenis sos serta bahan-bahan lain sebagai penambah rasa dalam kuahnya. Bahan-bahan ini boleh ditambah atau dikurangkan mengikut kesesuaian dan selera masing-masing. Ada pelbagai lagi jenis masakan ayam yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Antara masakan ayam kegemaran saya ialah ayam masam manis, ayam goreng tomyam dan butter chicken.

Gabungan dari cili kering, daun kari serta sos yang dicampurkan membangkitkan aroma yang memikat selera dalam masakan ni. Ditambah pula dengan ayam goreng yang rangup membuatkan rasanya sedap tak terkata apabila pertama kali saya menikmatinya. Hehe. Ayam goreng cili kering ni sesuai dimakan dengan nasi putih atau nasi goreng.

Kalau korang nak senang faham cara membuat ayam masak cili kering ni apa kata korang layan dulu video yang saya kongsikan kat atas ni. Sambil tu jom subscribe YouTube Channel Buat Orang Lapo untuk mendapatkan latest resepi dan tengok video menarik, senang dan best kat situ dan jangan lupa like Facebook kami yea.

Bahan-bahan ayam masak cili kering:

  • Ayam
  • Tepung Goreng Segera
  • Air (perap ayam selama 30 minit)
  • Tepung Goreng Segera
  • Minyak Masak
  • Daun kari
  • 5 tangkai Cili Kering
  • 2 ulas Bawang Putih
  • 2 biji Bawang Merah
  • 3 tangkai Cili Padi
  • 1 tangkai Cili Besar Merah
  • 1/2 inci Halia
  • 2 sudu besar Sos Tiram
  • 2 sudu besar Sos Cili
  • 2 sudu besar Sos Tomato
  • Air
  • Air asam jawa
  • Garam
  • Gula
  • 1/2 biji Bawang Besar

Cara-cara membuat ayam masak cili kering:

  1. Satukan ayam dan tepung goreng segera di dalam mangkuk. Tambahkan air dan gaul rata. Perap ayam selama 30 minit.
  2. Salut ayam yang diperap tadi dengan tepung goreng segera dan goreng sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Masukkan sedikit minyak ke dalam kuali dan tumis daun kari dan cili kering. Kacau sebentar.
  4. Masukkan pula bawang putih, bawang merah, cili padi, cili besar merah dan halia tumis lagi sehingga garing.
  5. Kemudian masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato. Kacau rata.
  6. Masukkan sedikit air kacau lagi hingga kuah mendidih dan menjadi pekat.
  7. Tambahkan air asam jawa, garam dan gula secukupnya.
  8. Akhir sekali, masukkan ayam yang telah digoreng tadi bersama bawang besar yang dipotong dadu. Kacau kesemuanya hingga rata dan boleh angkat dan dihidangkan. Selamat mencuba.
ayam masak cili kering
ayam masak cili kering
ayam masak cili kering
ayam masak cili kering

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo