Sagu Gula Melaka TIPS Masak Sagu Supaya Tidak Melekat Dan Hancur

Assalamualaikum. Bertemu lagi kita di entri kali ini. Hari ini saya nak kongsikan satu lagi resepi yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini iaitu sagu gula melaka. Sagu gula melaka ni antara dessert yang menjadi kegemaran ramai termasuklah saya dan anak-anak. Bila tiba waktu bulan Ramadhan je, sagu gula melaka menjadi salah satu juadah wajib untuk saya sediakan buat keluarga. Anak-anak memang suka betul makan sagu gula melaka ni. Tambahan pula apabila di makan sejuk dan dicampur dengan ketulan air batu, memang marvellous! Hehehe.

sagu gula melaka

Sebelum ini saya pernah kongsikan resepi sagu gula melaka ni. Boleh tengok resepinya di sini. Namun untuk resepi sagu gula melaka kali ni saya kongsikan sekali cara-cara untuk menjadikan sagu berbutir, tidak melekat dan tidak hancur. Tipsnya ialah sagu tidak perlu dibasuh supaya sagu tidak hancur semasa direbus dan sagu perlu direbus dengan air yang banyak dan selepas sagu masak, lalukan sagu di bawah air paip yang mengalir untuk menghilangkan kanjinya. Dengan cara ini sagu tidak akan melekat dan akan jadi berbutir serta nampak lebih cantik dan menyelerakan.

Saya juga meletakkan beberapa pewarna supaya sagu ini kelihatan lebih menarik. Anak perempuan saya yang bongsu sangat suka tengok sagu yang berwarna-warni ni, dan dia cakap dah macam warna ‘unicorn’ sagu ni! Hahaha. Dalam resepi ini saya juga kongsikan cara untuk memasak santan yang boleh dijadikan pilihan untuk dimakan bersama sagu. Santan perlulah dimasak bersama sedikit garam. Tapi kalau korang tidak suka makan dengan santan, boleh gantikan dengan susu cair. Ataupun korang boleh juga makan sagu ni bersama susu segar untuk lebih sihat mengikut selera dan citarasa masing-masing. Untuk gulanya pula, korang boleh pilih samada nak gunakan gula kabung atau gula melaka, saya lebih suka gula kabung berbanding gula melaka kerana bagi saya, rasa gula kabung lebih lemak dan sedap. Namun ini terpulang kepada pilihan dan kesukaan masing-masing. So, apa tunggu lagi, jom kita buat sagu gula melaka yang marvellous ni!Selamat mencuba.

Saya ada sediakan video dan tips memasak sagu gula melaka kat atas ni. Boleh tengok dulu video kami supaya lebih senang dan mudah untuk lihat cara penyediaan dan cara membuatnya dan jangan lupa subscribe YouTube Channel kami untuk lihat lebih banyak resepi yang terbaru, menarik dan memikat selera dan jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-bahan sagu gula melaka:

  • Air (untuk rebus sagu)
  • 2 Cawan Sagu
  • Pewarna Makanan

Bahan-bahan sirap gula melaka:

  • 150 gram Gula Melaka/Kabung
  • 3 Sudu Besar Gula Putih
  • 1 Cawan Air

Bahan-bahan santan:

  • 1 Cawan Santan Pekat
  • 1 Cawan Air
  • 1/2 Sudu Kecil Garam

Cara-cara untuk membuat sagu gula melaka:

  1. Rebus sagu bersama air sehingga sagu masak. Boleh tambahkan air panas jika air kering.
  2. Setelah sagu masak, masukkan ke dalam tapis dan lalukan di bawah air yang mengalir untuk hilangkan kanjinya.
  3. Bahagikan sagu kepada beberapa bahagian dan letak pewarna yang disukai. Kacau hingga sebati. Ketepikan.
  4. Untuk sirap gula melaka, masak gula melaka, gula pasir dan air sehingga sirap menjadi likat. Tutup api dan angkat.
  5. Kemudian masak santan pekat bersama air dan sedikit garam sehingga keluar wap sahaja.
  6. Akhir sekali, hidangkan sagu tadi bersama santan dan sirap guka melaka. Siap!

Nota:

  • Boleh tambahkan satu sudu besar tepung jagung (yang dibancuh dengan sedikit air) ke dalam sirap gula melaka untuk memekatkannya.
sagu gula melaka
sagu gula melaka
sagu gula melaka

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo