Agar-Agar Roti Karamel Mudah (Sukatan Cawan dan Gram)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hai semua. Hari ni saya nak kongsi resepi agar-agar roti karamel. Kalau korang ada lebihan roti ataupun roti yang korang beli tu dah nak expired jangan buang tau! Boleh gunakan untuk buat agar-agar roti karamel ni. Sebenarnya resepi agar-agar roti ni dah pernah saya kongsikan sebelum ni. Korang boleh lihat di sini dan ada juga beberapa resepi lain yang menggunakan roti antaranya puding roti kastard, puding roti coklat, puding roti pisang. Kalau nak cuba resepi yang savory pulak, boleh cuba resepi lasagna roti, roti gulung dan macam-macam lagi. Kali ni saya buat resepi agar-agar roti yang lebih kurang sama dengan yang pernah saya buat sebelum ni cuma saya tambahkan karamel di atas agar-agar roti ni. Jadi rasanya akan jadi lebih lazat dan sedap. Untuk resepi kali ini saya sediakan dalam sukatan cawan dan gram supaya lebih mudah untuk korang buat nanti. Hehehe..

Dalam resepi ni korang perlu sediakan karamelnya terlebih dahulu. Cairkan gula sekadar menjadi perang sahaja. Pastikan gula tersebut tidak hangit yea, sebab kalau dah hangit memang pahit rasanya. Ianya akan menjejaskan rasa agar-agar roti korang nanti. Gula ni boleh dicairkan di dalam kuali atau pun boleh juga dicairkan terus di dalam loyang kerana gula yang dah jadi karamel akan cepat mengeras. Seterusnya, serbuk agar-agar dalam resepi ni boleh digantikan dengan agar-agar tali. Jika menggunakan agar-agar tali pastikan masak agar-agar dahulu sehingga hancur dan larut sebelum masukkan gula. Ini kerana jika gula dimasukkan awal, agar-agar tali susah untuk hancur atau larut sepenuhnya.  Kemanisannya pula bergantung kepada selera masing-masing, jika inginkan lebih manis boleh tambah gula atau lebihkan susu pekat manis. Tapi bagi saya sukatan dalam resepi ni sedang elok je, tak terlalu manis atau tawar. Agar-agar roti karamel ni korang boleh buat plain sahaja atau boleh letakkan pewarna makanan kegemaran masing-masing yea. Coraknya pula boleh buat ikut kreativiti masing-masing terpulang pada citarasa sendiri.

Korang boleh letakkan agar-agar roti karamel ni di dalam bekas yang besar atau pun boleh jugak letak dalam bekas kecil-kecil supaya mudah di makan. Boleh juga dijadikan sebagai jualan jika suka. Hehehe.. Teksture agar-agar ni sangat lembut sebab ada campuran susu, telur dan juga marjerin di dalamnya. Rasanya yang lemak dari susu dan gabungan rasa dari karamel tu memang padu! Makan pulak sejuk-sejuk memang terasa kenikmatannya tau!! Hahaha.. Kalau korang tak sabar nak rasa kesedapan dan keenakkan agar-agar roti karamel ni korang wajib cuba resepi ni.. Selamat mencuba!

Sebelum korang nak cuba buat resepi agar-agar roti karamel ni apa kata korang tengok dulu video yang saya kongsikan kat atas ni untuk senang faham cara membuatnya. Sambil tu jom subscribe YouTube Channel Buat Orang Lapo untuk mendapatkan resepi terbaru daripada kami dan jangan ketinggalan untuk lihat video yang menarik, mudah dan best kat situ dan jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-Bahan Untuk Agar-Agar Roti Karamel:

  • 3 Sudu Besar Gula
  • 4 Keping Roti
  • 1 Tin @ 390ml Susu Cair
  • 1 Biji Telur (Gred A/B)
  • ¼ Cawan @ 75 gram Susu Pekat Manis
  • 1 Sudu Kecil Esen Vanila
  • 1 Sudu Besar Tepung Kastard
  • 3 Cawan @ 750 ml Air
  • ½ Cawan @ 100 gm Gula
  • 10 Gram @ 1 Paket Serbuk Agar-Agar
  • 2 Sudu Besar @ 28 gm Mentega
  • Pewarna Makanan

Cara-Cara Untuk Membuat Agar-Agar Roti Karamel:

  1. Mula-mula sediakan karamel dahulu. Masukkan gula ke dalam kuali dan ratakan di seluruh permukaan kuali.
  2. Biarkan gula cair dan apabila gula telah hangus dan menjadi karamel kacau rata supaya gula hangus sekata.
  3. Kemudian, masukkan air panas (karamel akan menjadi keras) kacau sahaja sehingga karamel menjadi cair semula.
  4. Sediakan loyang atau acuan yang sesuai dan letakkan karamel dan ratakan di seluruh permukaan loyang. Ketepikan dahulu.
  5. Sementara itu, masukkan roti, susu cair, telur, susu pekat manis, esen vanila dan tepung kastard ke dalam blender dan kisar kesemua bahan sehingga hancur. Ketepikan dahulu.
  6. Masukkan pula air ke dalam periuk dan letakkan gula dan serbuk agar-agar. Masak sehingga gula dan agar-agar larut dan mendidih.
  7. Selepas itu, masukkan bahan yang dikisar tadi ke dalam agar-agar dan kacau sehingga hampir pekat. Gunakan api sederhana supaya ianya tidak berketul-ketul.
  8. Setelah hampir pekat masukkan mentega dan kacau hingga sebati. Tutup api.
  9. Tuangkan separuh adunan ke dalam loyang yang berisi karamel tadi.
  10. Bahagikan adunan yang selebihnya kepada 3 bahagian dan letakkan pewarna makan yang berlainan pada setiap satu.
  11. Lapiskan bahagian yang berwarna secara berselang seli di atas lapisan yang pertama tadi sehingga habis (boleh rujuk video).
  12. Simpan di dalam peti ais sehingga agar-agar sejuk dan kental. Siap! Sedia untuk dimakan.

Nota:

  • Jika adunan agar-agar yang telah dimasak menjadi keras sebelum dimasukkan ke dalam loyang, boleh panaskan semula di atas api supaya ianya menjadi cair semula.
Agar-Agar Roti Karamel
Agar-Agar Roti Karamel
Agar-Agar Roti Karamel

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo