October 26, 2020

Bubur Sum Sum Juadah Tradisi Lemak, Lembut, Manis

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hi semua. Pada entri Hari ni saya nak share resepi tradisi iaitu bubur sum sum. Ia adalah sejenis kuih yang lembut dan rasa lemak masin yang disajikan bersama kuah manis yang dibuat dari gula melaka atau gula kabung. Bubur sum sum ni kira macam dessert orang dulu-dulu la. Hehe.. Nama bubur ni diberi sempena rupanya yang seakan-akan sum sum tulang.  Bila makan bubur sum sum ni teringat nostalgia zaman kanak-kanak dulu. Emak saya memang selalu buat bubur ni masa di kampung dulu. Ianya memang menjadi salah satu manisan favourite kami sekeluarga. Teksturnya yang lembut dan lemak masin digandingkan pula dengan air gula kabung yang manis tu dan dimakan sejuk-sejuk, lalu ditekak.. pergghhhh.. memang terbaiklah.. Haha!

Nak buat bubur sum sum ni senang je, bahannya juga tak banyak. Bahan utama untuk membuatnya ni ialah tepung beras dan santan. Saya lebih suka pakai tepung beras cap teratai. Untuk santannya pula saya gunakan santan fresh yang sederhana pekat. Kalau guna santan fresh bubur sum sum akan jadi smooth, tidak melekat dan lebih sedap. Rasa asli dari santan akan tu akan menambahkan kesedapannya. Lazimnya bubur ni bewarna putih, tapi ada juga yang buat warna hijau yang berperisa pandan. Jika inginkan warna hijau boleh masukkan air pandan atau emulco pandan bersama sedikit pewarna makanan hijau.

Dalam resepi ni saya gunakan gula kabung untuk air gulanya kerana bagi saya gula kabung lebih sedap dan rasa lemak. Jika tiada boleh gantikan dengan gula melaka atau gula merah ikut la selera dan citarasa masing-masing. Untuk memekatkan air gula saya letakkan sedikit air tepung jagung. Sebaiknya sirap gula kabung ni dimasak lebih awal supaya bila sejuk sirap akan jadi lebih sedap dan pekat. Bubur sum sum ni sesuai di makan sejuk-sejuk kalau baru keluar dari peti sejuk dan terus makan memang marvelous rasanya. Bubur sum sum ni juga sesuai dijadikan juadah untuk berbuka puasa. Korang jangan lupa untuk cuba resepi ni tau.. Rasai sendiri kesedapan dan keenakkannya. Okay, selamat mencuba jumpa lagi di entri akan datang.

Sambil korang baca resepi ni, apa kata korang subscribe dulu YouTube Channel Buat Orang Lapo untuk mendapatkan latest recipe dari kami dan jangan ketinggalan untuk tengok video menarik, mudah dan best kat situ dan jangan lupa follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-Bahan Bubur Sum Sum:

  • 1 Cawan Tepung Beras
  • 1 Sudu Besar Tepung Jagung
  • 4 Cawan Santan
  • 1 Sudu Kecil Garam
  • 1 Helai Daun Pandan

Cara-Cara membuat Bubur Sum Sum:

  1. Masak santan, tepung beras, tepung jagung, garam dan daun pandan menggunakan api yang sederhana supaya tidak mudah hangit.
  2. Kacau tanpa henti sehingga ianya mula pekat dan meletup-letup adunannya.
  3. Teruskan kacau sehingga adunan masak. Anggaran masa memasak untuk  sukatan ini dari mula mengacau hingga masak lebih kurang 20 minit.
  4. Bila adunan sudah masak keluarkan daun pandan dan sudukan atau tuangkan ke dalam acuan yang disukai atau masukkan sahaja ke dalam mangkuk kecil (jangan tunggu sehingga adunan sejuk kerana adunan tepung akan cepat mengeras jika telah sejuk).
  5. Biarkan adunan ini sejuk di luar atau boleh juga masukkan adunan ini ke dalam peti sejuk.

Bahan-Bahan Sirap Gula Kabung:

  • 150 Gram Gula Kabung atau Gula Melaka
  • 3 Sudu Besar Gula Putih
  • 1 Cawan Air
  • 1 Helai Daun Pandan
  • 1 Sudu Kecil Tepung Jagung (dibancuh dengan sedikit air).

Cara-Cara:

  • Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali air bancuhan tepung jagung, masak hingga mendidih dan gula larut sepenuhnya.
  • Setelah mendidih, masukkan air bancuhan tepung jagung dan masak lagi sehingga sedikit pekat. Tutup api.
  • Sejukkan dahulu sirap gula kabung ni, setelah ianya sejuk boleh la dimakan bersama bubur sum sum tadi. Siap!
Bubur Sum Sum
Bubur Sum Sum
Bubur Sum Sum

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo
%d bloggers like this: