Choco Jar Cadbury Viral (Coklat Sentiasa Cair)

Assalamualaikum.. Hari ni saya ingin kongsikan cara untuk membuat choco jar yang viral sejak kebelakangan ni. Sebenarnya resepi ni memang senang sangat. Cuma mungkin ada yang tak tahu bagaimana untuk mengekalkan coklat supaya sentiasa cair dan bubble sentiasa rangup walaupun disimpan lama.

Video Versi Pendek
Video Versi ASMR
Video Versi ASMR tanpa Musik

Resepi choco jar dengan menggunakan coklat Cadbury ni sedap dan mudah. Saya campurkan sedikit dengan coklat gelap untuk lebih rasa coklatnya. Sebenarnya, boleh gunakan apa-apa saja jenis coklat kegemaran masing-masing. Makin sedap coklat yang digunakan, makin sedap la choco jar yang kita buat tu. Hehe. Boleh juga gunakan coklat masakan biasa. Tapi kalau korang peminat coklat Cadbury, boleh try buat Tart Cadbury yang sedap ni. Kalau korang suka kek dengan topping coklat leleh pula, boleh cuba resepi molten chocolate cake (yang ni memang the best ever. Peminat coklat wajib cuba), kek coklat moist (versi bakar yang menggunakan sukatan gram), kek coklat moist (versi kukus yang menggunakan sukatan cawan).

Tips coklat sentiasa cair:

Ramai yang meminta saya kongsikan cara untuk membuat choco jar yang coklatnya sentiasa cair. Sebenarnya coklat perlu dicairkan dengan menggunakan minyak untuk memastikan coklat sentiasa cair walaupun setelah sejuk. Bila nak makan tu tak perlu lagi nak panaskan coklat untuk cairkannya. Boleh terus ngap je. Hehe.

Minyak yang digunakan dalam coklat boleh ditambah atau dikurangkan mengikut kepekatan yang diingini. Boleh cuba letak sikit demi sikit untuk mendapatkan kepekatan coklat yang kita suka. Coklat akan lebih cair semasa panas. So biar extra cair sikit masa letakkan minyak tu. Nanti coklat akan menjadi pekat sedikit apabila sejuk. Tapi masih lagi dalam keadaan cair dan tidak akan beku. Minyak boleh dikurangkan kalau takut terlalu muak.

Ada juga yang bertanya kepada saya sama ada minyak ni boleh digantikan dengan bahan lain seperti mentega ataupun susu cair. Jawapan saya, memang boleh tapi cuma minyak je yang akan membuat coklat kekal cair. Jika guna bahan lain, coklat akan menjadi likat dan pekat setelah sejuk (bukan keras sepenuhnya).

Tips untuk bubble rice:

Tips untuk memastikan bubble rice sentiasa rangup, pastikan bubble rice dan juga coklat betul-betul sejuk sebelum dimasukkan ke dalam bekas. Pastikan bekas yang digunakan kedap udara. Bubble rice akan menjadi lembik dan lemau jika terkena coklat yang panas. Bubble rice pula perlu disangai atau dibakar terlebih dahulu untuk memastikan ianya betul-betul rangup. Dalam video kat atas saya tunjukkan kedua-dua cara menggoreng dan membakar. Boleh guna salah satu cara. Jangan buat dua-dua pulak. Rentung pulak jadinya nanti. Hehe.

Ok jom kita tengok resepinya. Kalau nak resepi yang best lagi, jom subscribe YouTube Channel kami. 

choco jar

 

Bahan-Bahan Choco Jar:

  • 1 Bar Coklat Cadbury 165gm
  • 50 gram Coklat Gelap
  • 3 Sudu Besar Minyak Masak
  • 4 Cawan Bubble Rice

Cara-cara membuat Choco Jar:

  1. Cairkan coklat cadbury dan juga coklat gelap dengan minyak. Gunakan kaedah double boil. (boleh tengok caranya dalam video kat atas)
  2. Setelah cair, angkat dan biarkan coklat betul-betul sejuk.
  3. Sangai atau bakar bubble rice sehingga betul-betul rangup. Sejukkan diluar sebentar sebelum dimasukkan ke dalam bekas. *jangan lama sangat biar bubble rice ni terdedah. Nanti lemau pula.
  4. Setelah coklat sejuk, tuangkannya di atas bubble rice tadi. Gaul rata dan boleh ngap sampai habis. 

choco jar

choco jar


Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo

10 Comments »

  1. sis nak tanya, kalau pakai choc compound kenapa dah lama2 dia jadi keras balik.. even buat double boiling n panaskan campur minyak.. atau choc compound xsesuai untuk buat choco jar.?

    • ?? cuba lebih kn sikit minyak. Kalau taknak rasa muak sgt boleh letak susu. Tp still kena campur minyak yg 3 sudu tu.

Leave a Reply