Assalamulaikum. Hi semua. Daging goreng berlado ni sangat popular di restoran nasi padang. Saya adalah salah seorang penggemar nasi padang. Setiap kali ke restoran nasi padang, saya pasti tidak lepas untuk memilih daging goreng berlado sebagai salah satu lauk pilihan. Daging goreng berlada ni nampak je simple tapi sebenarnya ia sangat sedap. Tak akan jemu bila memakannya.
Resepi daging goreng berlada yang saya nak kongsikan ni ialah dagingnya tidak digoreng terlalu garing seperti di restoran nasi padang tu, kerana suami dan anak-anak saya lebih sukakan daging yang sedikit lembut. So, jangan goreng daging terlalu lama untuk mengelakkan daging menjadi keras. Untuk resepi ni, lebih sedap sekiranya menggunakan daging batang pinang yang mudah lembut apabila dimasak. Jika menggunakan daging biasa, ianya perlu di rebus sampai empuk sebelum di goreng.
Tahap kepedasannya pula bergantung kepada selera masing-masing. Jika inginkan lebih pedas boleh lebihkan cili padinya. Bahan-bahan tumisan lebih sedap jika ditumbuk kasar supaya lebih nikmat jika makan nanti. Boleh juga jika dikisar tapi jangan kisar terlalu halus. Perasakan bahan tumisan dengan garam, gula dan air limau kasturi secukupnya, boleh juga tambahkan bahan perisa lain jika suka mengikut citarasa masing-masing. Resepi daging goreng berlada ni sedap jika di makan dengan nasi putih panas. Bagi saya satu lauk ni je dah cukup membangkitkan selera. Mesti akan bertambah-tambah bila makan nanti. Hehe. So, apa lagi, jom kita buat resepi ni! Selamat mencuba.
Saya ada sediakan video cara penyediaan daging goreng berlada kat atas ni. Boleh tengok dulu video kami supaya lebih senang dan mudah faham cara membuatnya dan jangan lupa subscribe YouTube Channel kami dan jangan ketinggalan untuk lihat lebih banyak resepi yang terbaru, best dan mudah dari kami serta jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.
Bahan-Bahan Daging Goreng Berlada:
Bahan untuk daging:
- 300gm Daging Lembu (rebus sampai empuk)
- Garam
- Serbuk kunyit
Bahan lain:
- 1/2 Inci Halia
- 3 Ulas Bawang Putih
- 5 Tangkai Cili Kering
- 5 Tangkai Cili Padi
- 1 Tangkai Cili Merah Besar
- 1 Biji Bawang Besar
- Gula
- Garam
- Air Limau Kasturi
- 1 Biji Bawang Besar (dihiris)
Cara-Cara Untuk Membuat Daging Goreng Berlada:
- Rebus daging lembu sehingga empuk. Angkat dan toskan.
- Potong daging mengikut saiz yang diinginkan.
- Campurkan daging yang telah direbus dengan garam dan serbuk kunyit. Gaul rata dan perap selama 30 minit.
- Sementara itu, tumbuk kasar halia, bawang putih, cili kering, cili padi, cili merah besar dan bawang besar. Ketepikan sebentar.
- Kemudian, goreng daging tadi hingga sedikit garing. Jangan goreng terlalu lama kerana daging akan menjadi keras. Angkat dan ketepikan.
- Dengan menggunakan lebihan minyak gorengan daging tadi, tumis bahan tumbuk sehingga garing.
- Masukkan garam, gula dan air limau kasturi secukupnya. Seimbangkan rasa. Boleh tambah bahan perisa lain jika suka. Kacau sehingga rata.
- Akhir sekali, masukkan daging yang digoreng tadi dan bawang besar yang dihiris.
- Masak sehingga bawang layu dan boleh angkat. Siap! Sedia untuk dihidangkan.
Tips:
- Jika suka daging goreng berlada yang garing dan rangup, pastikan daging yang telah di rebus dipotong betul-betul nipis supaya ianya cepat garing dan tidak menjadi keras apabila digoreng.
Nak resepi lagi?
Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.
Join telegram kami
Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo