Kuih Talam Jagung Lembut Sukatan Cawan

Assalamualaikum. Hai semua. Pernah dengar atau makan kuih talam jagung? Biasanya kita jumpa kuih talam tepung je kan? So, kali ni saya nak share resepi kuih talam jagung pulak. Kuih talam jagung ni lebih kurang macam kuih talam biasa, cuma bahagian bawah kuih ni saya letak jagung. Untuk kuih talam jagung ni saya hanya menggunakan jagung dalam tin jenis creamy kerana lebih senang dan mudah untuk digunakan berbanding kalau guna jagung yang fresh. Tapi kalau korang rajin nak gunakan jagung fresh pun boleh. Korang boleh baca tips kat bawah, sebelum buat kuih talam ni.  Selamat mencuba!

Bahan-bahannya:

Lapisan Bawah:

  • 1 cawan Tepung Beras
  • 2 sudu besar Tepung Kastard
  • ½ cawan Gula
  • 2 cawan Santan Pekat
  • Pewarna Makanan (Kuning)
  • 1 cawan Jagung Manis Berkrim
  • Minyak

Lapisan Atas:

  • ¾ cawan Tepung Beras
  • 2 cawan Santan Pekat
  • ¾ sudu kecil Garam

Cara-cara untuk membuatnya:

  1. Mula-mula sediakan bahagian bawah dahulu. Dalam periuk masukkan tepung beras, tepung kastard, gula, santan pekat dan pewarna makanan kuning. Kacau semuanya sehingga larut dan sebati sebelum di masak.
  2. Masak bahan tadi di atas dapur dengan menggunakan api yang kecil sehingga naik wap sahaja. Pastikan sentiasa kacau supaya adunan tidak berketul-ketul. Angkat dan masukkan pula jagung manis berkrim dan kacau rata.
  3. Sediakan acuan atau loyang yang sesuai bersaiz 8 inci atau 9 inci. Sapu acuan dengan sedikit minyak dan lapikkan dengan plastik dan sapukan sedikit minyak lagi di atas permukaan plastik. Sementara itu, boleh panaskan kukusan.
  4. Tuang kesemua adunan jagung tadi ke dalam loyang dan kukus selama 20 minit. Pastikan air kukusan mendidih terlebih dahulu sebelum mengukus adunan kuih.
  5. Langkah seterusnya, sediakan lapisan atas pula sementara menunggu lapisan bawah masak.
  6. Masukkan tepung beras, santan pekat dan sedikit garam ke dalam periuk. Kacau adunan sehingga larut dan sebati dahulu sebelum di masak.
  7. Masak adunan santan di atas dapur menggunakan api yang kecil sehingga naik wap sahaja. Pastikan sentiasa kacau supaya adunan tidak berketul-ketul. Angkat.
  8. Setelah lapisan bawah tadi masak, lorekkan sedikit dengan pisau atau garfu supaya lapisan atas betul-betul melekat. Tuangkan lapisan atas (adunan santan) tadi ke dalam loyang dan kukus lagi selama 20 minit dan selepas itu, buka penutup kukus dan teruskan mengukus lagi selama 5 minit supaya permukaan kuih kering dan licin.
  9. Setelah kuih masak, sejukkan dahulu sebelum di potong dan boleh dihidangkan. Siap!

Tips:

  • boleh kurangkan tepung beras untuk bahagian atas kalau nak kuih yang berkepala lembik atau lebihkan sikit tepung (2@3 sudu) kalau suka bahagian atas lebih pejal.
  • boleh juga gunakan jagung segar. Hiris jagung, kisar halus dan sukat.
  • boleh adjust gula dan garam mengikut selera masing-masing.
  • balut penutup kukus dengan kain atau alas dengan aluminium foil supaya air kukusan tak menitis pada kuih.
  • selepas kuih masak, boleh bukak penutup dan terus kukus lebih kurang 5 minit lagi supaya permukaan kuih kering dan licin (kalau tak nak buat pun takpe).

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo