Pau Sambal a.k.a Burger Malaysia

Assalamualaikum. Pau sambal ataupun dikenali juga dengan nama burger malaysia ni memang menjadi kegemaran ramai terutamanya untuk hidangan sarapan pagi ataupun minum petang. Kat tempat saya ni kebiasaannya pau sambal ni banyak dijual digerai-gerai tepi jalan yang menjual sarapan pagi. Cuma biasa ada yang sedap, ada yang tak berapa sedap, ada yang tak cukup sambal, macam-macam ada. Hehe. Jadi hari ni saya nak kongsikan cara buat pau sambal a.k.a burger malaysia yang sedap sehingga menjilat jari. Hehe.

Doh untuk buat pau sambal ni boleh gunakan untuk membuat donat dan juga pau goreng. Manakala sambalnya pula boleh digunakan sebagai sambal nasi lemak. Sebab tu peniaga yang menjual nasi lemak selalunya ada jual juga pau sambal ni. Hehe. Kalau saya pula, 1 adunan ni saya akan buat juga donat dan pau goreng. Sebab anak-anak tak makan pedas. All in one gitu. Hehe.

Untuk part sambal pula saya rasa sambal ni sedap kalau ada rasa manis-manis sikit. Tapi ada yang suka lebih rasa masin. Jadi saya tak letakkan sukatan garam, gula dan juga air asam jawa kerana ianya terpulang kepada selera masing-masing. Boleh letak sikit demi sedikit jika tak pasti berapa banyak bahan-bahan ini diperlukan. Jika nak lebih pedas boleh lebihkan cili kering atau gunakan cili kering jenis pedas. 

Sebelum buat pau sambal yang sedap ni jom kita tengok dulu cara penyediaannya kat dalam video yang saya sediakan ni. Lebih senang nak faham kalau tengok video.

Bahan-bahan Pau Sambal:

Doh:

  • 1 Cawan Air Suam
  • 2 Sb Gula
  • 2 Sb Susu Pekat
  • 11 gm Yis (1 Paket)
  • 3 Cawan Tepung Gandum
  • 1 Biji Telur
  • 2 Sb Mentega Cair
  • 1 sk Garam
  • 1 sk Pelembut Roti

Cara-cara:

  1. Sediakan air suam, kacau gula dan susu sehingga sebati dan masukkan yis. Kacau dan biarkan yis berbuih lebih kurang 15 minit.
  2. Sementara itu, gaulkan tepung bersama mentega, telur, garam dan pelembut roti.
  3. Kemudian masukkan air yis yang telah kembang tadi. Uli sehingga menjadi doh. (Boleh tambah tepung jika adunan terlalu lembik)
  4. Rehatkan doh selama 1 jam atau sehingga kembang 2 kali ganda.
  5. Uli doh sedikit dan bulatkan pada saiz yang sesuai. Biarkan doh naik sekejap lebih kurang 10 minit.
  6. Goreng doh dengan minyak yang banyak. (api jangan terlalu besar)

Sambal:

  • 2 Biji Bawang Besar 
  • 10-15 Tangkai Cili Kering (rebus dahulu)
  • Air
  • Gula
  • Garam
  • Sedikit Air asam jawa
  • 1 Biji Bawang Besar (potong bulat)
  • 20 gm Ikan Bilis
  • Timun

Cara-cara:

  1. Kisar bawang besar dan cili kering dengan sedikit air sehingga hancur.
  2. Tumiskan bahan kisar sehingga betul-betul garing.
  3. Perasakan dengan garam, gula dan juga sedikit air asam jawa secukupnya semasa menumis.
  4. Tambahkan air sedikit demi sedikit dan terus tumis sehingga warna sambal menjadi gelap.
  5. Masukkan bawang yang dipotong bulat dan juga ikan bilis (boleh tambah jika suka). Kacau sehingga sebati dan sedikit kering.
  6. Masukkan sambal ini di dalam doh (potong 2 tapi jangan sampai putus) yang telah digoreng tadi bersama hirisan timun.

Tips:

  • Air suam untuk bancuh yis jangan terlalu panas. Suam-suam kuku je. Air panas akan mematikan yis dan yis tak akan kembang.
  • Untuk mendapatkan pau yang lembut, pastikan doh lembut dan uli beberapa kali sebelum diperap selama 1 jam.
  • Bagi mendapatkan sambal yang sedap, sambal perlu dimasak lama dengan menggunakan api kecil sehingga ianya bertukar warna yang gelap. Tambahkan air jika sambal dah kering dan tumis lagi sehingga sambal kering semula. Ulang langkah ni beberapa kali.

pau sambal

pau sambal


Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo



Leave a Reply