Mini Pavlova Mudah dan Menarik

Assalamualaikum. Pavlova adalah sejenis pencuci mulut manis yang berasaskan meringue (putih telur). Ia dinamakan sempena nama seorang ballerina Rusia, Anna Pavlova. Bahagian luar mini pavlova ni rasa rangup seperti kerak dan bahagian dalamnya pula lembut dan ringan. Pavlova biasanya dihidangkan dengan krim putar dan juga dihias dengan buah-buahan. 

Sebenarnya nak buat mini pavlova ni tak la susah sangat cuma masa untuk membakarnya memang agak lama. Lepas bakar kena tunggu pula dia sejuk sikit dalam oven. Lepas tu kena tunggu betul-betul sejuk lagi sebelum letakkan krim. Banyak sungguh proses menunggunya. Hehe. Kena banyak-banyak sabar nak buat pavlova ni. 

Kalau ada yang bertanya sama ada pavlova ni manis atau tak, jawapannya memang manis. Sesiapa yang ada kencing manis tu baik jangan makan. Hehe. Tapi pavlova ni tak la terlampau manis sangat. Cuma bagi orang yang memang tak kuat makan manis, memang terasa la jugak kemanisannya. Dah namanya pemanis mulut, mestilah kena maniskan..Hehe. Actually saya pernah cuba kurangkan gula dalam adunan ni, tapi dia tak berapa jadi sebab kurang rangup. So, saya kurangkan gula dalam krimnya supaya tidak terlampau manis.

Kalau korang minat makan dessert yang manis macam ni boleh juga try buat macarons. Macarons juga diperbuat daripada meringue. Then boleh subscribe YouTube Channel kami untuk dapat lebih banyak resepi yang best kat situ. Ok jom tengok bahan-bahan untuk membuat mini pavlova kat bawah ni.

Mini Pavlova

Bahan-bahan Mini Pavlova:

  • 4 biji telur putih
  • 1 cawan gula
  • 1/2 sudu kecil jus lemon
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 1 sudu besar tepung jagung

Bahan Krim:

  • 1 1/2 cawan krim putar tenusu (sejuk)
  • 2 sudu besar gula

Cara-cara:

  1. Panaskan oven pada suhu 110ºC.
  2. Pukul putih telur sehingga menjadi seperti buih halus.
  3. Masukkan gula sedikit demi sedikit sambil terus memukul sehingga putih telur menjadi ringan dan kaku lebih kurang 10-15 minit. Gunakan kelajuan yang tinggi.
  4. Tambahkan jus lemon dan juga esen vanila ke dalam adunan tadi. Kaup balik adunan sehingga rata.
  5. Masukkan pula tepung jagung. Kaup balik lagi sehingga adunan sebati. Jangan terlalu lama dan kuat.
  6. Masukkan adunan ke dalam piping bag supaya lebih mudah untuk dibentuk.
  7. Pipekan ke atas dulang secara membulat. Biarkan tengahnya rendah daripada bahagian tepi untuk meletakkan krimnya kemudian. Pastikan dulang di alas dengan kertas pembakar.
  8. Bakar selama 1 jam 15 minit atau sehingga sedikit kekuningan (hampir putih).
  9. Selepas bakar, biarkan ianya di dalam ketuhar selama 30 minit. Kemudian biarkan ia betul-betul sejuk di luar sebelum letak krim di atasnya.
  10. Untuk membuat krim, pukul krim putar (whipping cream) bersama gula sehingga kental. Jangan pukul terlalu lama kerana krim akan mencair jika terlebih pukul. 
  11. Pipekan krim ke atas mini pavlova yang telah sejuk tadi dan hiasankan dengan buah-buahan kegemaran.

Tips untuk membuat meringue (adunan putih telur) :

  • Pastikan bekas untuk membancuh adunan, bekas untuk mengisi semua bahan, dan semua alatan untuk membuat meringue betul-betul bersih dan kering.
  • Pastikan putih telur tak bercampur sedikit pun dengan kuning telur dan tidak terkena air, minyak dan sebagainya.
  • Untuk memastikan meringue betul-betul kental, terbalikkan mangkuk selama lebih kurang 10 saat. Jika adunan tidak jatuh, meringue tu dah ok. Jika jatuh, pukul lagi sehingga kental.
  • Pukul dengan kelajuan yang tinggi.

Mini Pavlova

Mini Pavlova

Mini Pavlova

Mini Pavlova


Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo

Scroll to Top