Assalamualaikum. Biskut Almond London adalah antara biskut yang popular di hari raya. Ramai betul yang minta saya buatkan resepi almond london ni. Jadi hari ni saya kongsikan resepi biskut almond london yang mudah dan sedap. So peminat almond london boleh la cuba resepi ni. Kat bawah ni saya kongsikan juga tutorial cara membuat almond london yang best. Jom tengok.
Biskut almond london ni sedap dimakan bila rangup. So pastikan badam dibakar sehingga betul-betul rangup supaya badam tidak mudah lemau. Baca tips kat bawah untuk mendapatkan badam yang terbaik dan lebih rangup. Boleh juga tambahkan sedikit emplex di dalam adunan untuk mendapatkan biskut yang rangup. Almond nibs juga seeloknya dibakar terlebih dahulu supaya lebih rangup.
Untuk bahagian coklat pula, kalau tak ada shortening, boleh lebihkan sikit mentega sehingga dapat kecairan yang sesuai. Tapi shortening lebih elok untuk mendapatkan coklat yang licin dan berkilat cantik. Kalau untuk buat makan sendiri, tak perlu tambah apa-apa pun ok. Coklat saja dah mencukupi dan lebih sedap. Lebihan coklat boleh buat choco jar ni. Confirm tak cukup makan. Hehe.
Satu adunan ini menghasilkan lebih kurang 120-130 biji biskut. Kalau nak hidang untuk tetamu di hari raya nanti, kena buat 2-3 adunan sebab biskut sedap macam ni selalunya cepat habis. Hehe.
Ok jom kita tengok resepinya kat bawah ni. Kalau nak resepi lain yang best dan banyak lagi, jom subscribe YouTube Channel kami.
Bahan-bahan biskut almond london:
- 250 gram Mentega
- 110 gram @ 1/2 Cawan Gula Kastor
- 1 sudu kecil Esen Vanila
- 1 Biji Telur
- 50 gram @ 1/2 Cawan Serbuk Badam
- 375 gram @ 3 Cawan Tepung Gandum
- 125 gram @ 1 Cawan Tepung Jagung
- 2 Sudu Besar @ 20 gram Tepung Beras
- 1 sudu kecil Serbuk Penaik
- 1 sudu kecil emplex (optional)
- Badam ketul (dibakar)
- Badam Cincang (dibakar)
Bahan-bahan salutan coklat:
- 500 gram Coklat Masakan
- 1 Sudu Besar Mentega
- 1 Sudu Besar Lelemak Sayur (shortening)
Cara-cara membuat biskut almond london:
- Bakar badam ketul terlebih dahulu pada suhu 160ºC selama 30-40 minit atau sehingga kering dan betul-betul garing.
- Bakar pula badam cincang pada suhu 150ºC selama 5-10 minit.
- Pukul mentega bersama gula sehingga sedikit kembang.
- Masukkan telur dan juga esen vanila. Pukul lagi sehingga sebati.
- Masukkan pula serbuk badam. Kacau dengan menggunakan senduk sehingga rata.
- Ayakkan tepung gandum, tepung jagung, dan juga tepung beras. Masukkan ke semua tepung ke dalam adunan tadi bersama serbuk penaik dan juga emplex.
- Kacau rata adunan dan uli sehingga menjadi doh.
- Ambil sedikit doh lebih kurang seberat 6 gram. Masukkan seketul badam di dalam doh dan bentukkannya menjadi bujur.
- Susun di dalam loyang dan bakar pada suhu 170ºC selama 20-25 minit atau sehingga kekuningan bergantung pada oven masing-masing. Gunakan api atas dan bawah. Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu.
- Untuk membuat coklat, cairkan kesemua bahan dengan menggunakan keadah double boiled sehingga sebati.
- Setelah biskut tadi sejuk, celupkannya ke dalam coklat cair tadi dan letakkan ke dalam paper cup.
- Tabur badam cincang di atasnya. Biarkan coklat sejuk dan keras pada suhu bilik. Sedia untuk dimakan.
Tips:
- Untuk mendapatkan badam yang lebih rangup, boleh bakar badam 2 kali. Bakar kali pertama selama lebih kurang 10-15 minit pada suhu 160ºC. Kemudian sejukkan badam. Bakar kali kedua pada suhu yang sama selama lebih kurang 30 minit atau sehingga badam betul-betul rangup.
Nak resepi lagi?
Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.
Join telegram kami
Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo