Kek Span Oreo Lembut dan Tips Membuat Meringue

Assalamualaikum. Hari ni saya nak kongsikan resepi kek span oreo yang sangat lembut tanpa menggunakan ovalette. Kek span ini juga dikenali dengan nama kek span cotton. Berbeza dengan kek span biasa yang menggunakan ovalette sebagai bahan untuk gebukan kek, kek span cotton ni menggunakan teknik meringue dan dibakar secara waterbath untuk mendapatkan kek span yang lembut dan gebu.

Untuk mendapatkan kek span yang lembut dan gebu, pastikan meringue menjadi dengan sempurna. Boleh baca tips untuk membuat meringue kat bawah ni. Semasa kaup balik adunan, pastikan kaup balik dengan perlahan supaya kek tidak akan jadi mampat. Setelah kek masak, segera keluarkan kek daripada oven dan terbalikkan sebentar di atas redai atau jaring lebih kurang 5-10 minit. Kemudian keluarkan kek daripada loyang dan terbalikkan semula supaya kek tidak mendap.

Kek span ni kalau nak buat kosong tanpa oreo pun boleh. Ataupun boleh juga letakkan pelbagai perisa yang lain mengikut selera masing-masing. Kalau nak buat perisa coklat, boleh tambah 2-3 sudu besar serbuk koko ke dalam adunan. Kurangkan tepung dalam jumlah yang sama. Kemudian ayak serbuk koko sekali dengan tepung tadi.

Nak cuba resepi kek yang paling mudah boleh cuba resepi kek marble ni. Sekali buat confirm menjadi. Yang penting adunan perlu dipukul sehingga gebu dan ringan. Ok jom kita tengok resepi kat bawah ni. Kalau nak resepi lain yang best dan banyak lagi, jom subscribe YouTube Channel kami.

Kek span oreo

Bahan-bahan kek span oreo:

Kek:

  • 5 Biji Telur Kuning (gred A)
  • 40gm Gula
  • 40ml Minyak Jagung
  • 50ml Susu Segar
  • 1 tsp Esen Vanila
  • 100gm Tepung Naik Sendiri
  • 50 gm Oreo yang dikisar kasar (Tanpa Krim)

Meringue:

  • 5 Biji Putih Telur (gred A)
  • 1/2 sk Cream Of Tartar (@1sk jus lemon)
  • 80gm Gula

Cara membuat kek span oreo:

  1. Pukul putih telur bersama cream of tartar sehingga kembang dan berbuih halus (soft peak).
  2. Kemudian masukkan gula sedikit demi sedikit sambil terus pukul adunan sehingga menjadi kaku dan bertanduh. Pukul dengan kelajuan yang tinggi. Ketepikan adunan meringue (putih telur) ni.
  3. Di dalam mangkuk lain, pukul kuning telur, gula, minyak jagung, susu segar dan juga esen vanila sehingga sebati dengan menggunakan whisk.
  4. Kemudian masukkan tepung dan kacau lagi sehingga sebati.
  5. Masukkan pula meringue tadi. Kaup balik adunan dengan menggunakan whisk secara perlahan.
  6. Setelah adunan sebati, masukkan pula oreo yang telah dikisar halus dan kaup balik adunan.
  7. Masukkan adunan ke dalam loyang bersaiz 7 inci.
  8. Bakar dengan menggunakan teknik waterbath pada suhu 160°c selama 50 minit atau sehingga masak bergantung kepada oven masing-masing. (pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu)

*kesilapan di dalam video: Bakar 50 minit. Bukan 30 minit*

Tips membuat meringue:

  • pastikan putih telur tidak tercampur dengan kuning telur @ terkena minyak, air dan sebagainya.
  • pastikan peralatan yang digunakan bersih dan kering.
  • pukul putih telur pada kelajuan yang tinggi sehingga bertanduk (telur tidak jatuh bila terbalikkan mangkuk adunan)
  • gunakan telur yang baru.
Kek span oreo
Kek span oreo
Kek span oreo

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo
Scroll to Top