Assalamualaikum. Kali ni saya kongsikan resepi puding roti butterscotch bersama sos butterscotch dengan taburan chocolate chip. Double rasa butterscotch yang menambah kesedapan hidangan pencuci mulut ni. Cara membuatnya lebih kurang sama seperti puding roti kastard biasa cuma saya menggunakan roti butterscotch dan saya gantikan 1 cawan susu segar dengan whipping cream supaya rasanya lebih lemak berkrim. Jika tiada whipping cream, boleh gunakan 2 cawan susu segar.
Chocolate chip pula boleh digantikan dengan bahan lain seperti kismis, buah-buahan dan sebagainya mengikut citarasa masing-masing. Kalau nak letak buah-buahan, boleh cuba resepi puding roti epal ni. Boleh juga gunakan buah-buahan yang lain. Buat puding roti pisang ni pun sedap juga. Puding roti pisang ni antara puding yang menjadi kegemaran saya.
Puding roti butterscotch ni sesuai di makan semasa panas mahupun sejuk. Selalunya saya buat puding roti bila ada keramaian, jamuan ataupun bila ada family datang beramai-ramai kat rumah, mesti puding ni laku keras. Hehe. Untuk sos butterscotch, kalau nak buat boleh tak buat pun takpe. Makan puding saja pun dah sedap.
Kat atas ni saya ada sediakan video cara membuat puding roti butterscotch. Jom tengok video dulu supaya lebih faham cara membuatnya. Kalau nak resepi lain yang best dan banyak lagi, jom subscribe YouTube Channel kami.
Bahan-bahan puding roti butterscotch:
- 1 Cawan Krim Putar Tenusu
- 1 Cawan Susu Segar
- 2 Biji Telur
- 2 Sb Mentega Cair
- 6 Sb Gula
- 1 Sb Tepung Jagung
- 1 sk Esen Vanila
- 8 Slice Roti Butterscoth
- Cip Coklat (optional)
Bahan-bahan sos butterscotch :
- 4 Sb Mentega
- 1/2 Cawan Krim Putar Tenusu
- 1/4 Cawan Gula Perang
- 1 sk Garam
- 1 sk Esen Vanila
Cara-cara membuat puding roti butterscotch:
- Masukkan kesemua bahan-bahan puding ke dalam mangkuk besar (kecuali roti dan coklat chip) dan kacau sehingga sebati.
- Apabila adunan telah sebati, carik-carikkan roti butterscotch dan masukkan ke dalam adunan tadi. Gaul rata.
- Biarkan adunan lebih kurang 30 minit supaya roti meresap bahan-bahan yang dikacau tadi.
- Masukkan adunan ke dalam loyang dan taburkan coklat chip jika suka.
- Bakar pada suhu 180ºc selama 30 minit atau sehingga masak bergantung pada oven masing-masing. Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu.
- Untuk sos, cairkan mentega di dalam periuk kecil.
- Masukkan krim putar, gula perang dan juga garam. Masak lebih kurang 4-5 minit menggunakan api sederhana sehingga sos nampak likat.
- Alihkan periuk daripada api dan masukkan esen vanila. Kacau sebati.
- Bila puding roti tadi telah sejuk, boleh potong dan hidangkan bersama sos butterscotch.
Nak resepi lagi?
Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.
Join telegram kami
Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo