Kuih Keria Dan Cek Mek Molek Lembut Dan Sedap

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hi semua. Apa khabar. Korang dah minum petang ke tu? Kalau belum hari ini saya nak kongsikan salah satu hidangan mudah yang sesuai untuk di buat sebagai minum petang iaitu kuih keria. Mula-mula saya ingat nak buat kuih keria je, tapi dah alang-alang saya pun buat sekali kuih cek mek molek sebab bahan yang digunakan adalah bahan yang sama, cuma bentuk dan caranya sahaja yang sedikit berbeza. Kuih keria dan cek mek molek ini adalah salah satu kuih traditional yang memang tak pernah di telan zaman yang menjadi kegemaran masyarakat melayu kita. Malah suatu ketika dulu kuih keria ini pernah menjadi viral. Hehehe.

Nak buat kuih keria dan kuih cek mek molek ni senang je. Bahan asas yang perlu ada sudah tentulah keledek dan tepung. Keledek yang saya gunakan kali ini adalah keledek berwarna ungu yang manis rasanya. Ada beberapa jenis dan warna keledek yang di jual di pasar atau di pasaraya seperti warna oren dan putih. Korang boleh gunakan apa-apa jenis dan warna keledek yang korang suka mengikut citarasa masing-masing. Tapi keledek yang bewarna ungu dan oren lebih manis berbanding keledek yang bewarna putih. Untuk kuih keria saya salutkan dengan gula putih yang telah dicairkan dan dimasak. Korang juga boleh buat kuih keria gula melaka seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Manakala untuk kuih cek mek molek pula saya letakkan gula putih di dalamnya sebagai inti.

Kedua-dua kuih ini rasanya sedap, manis dan lembut. Untuk mendapatkan kuih yang lembut dan sedap tepung tidak boleh diletak terlalu banyak semasa membancuh adunan. Saya juga masukkan sedikit tepung beras bertujuan untuk mendapatkan rasa yang rangup di bahagian luar kuih. Jadi kuih akan kekal lembut di dalam dan rangup di luar setelah di goreng. So, korang boleh cuba buat kuih ni okay. Selamat mencuba.

Kalau korang nak senang faham cara membuat kuih keria dan kuih cek mek molek ni apa kata korang tengok dulu video yang saya kongsikan kat atas ni. Sambil tu jom subscribe YouTube Channel Buat Orang Lapo untuk mendapatkan resepi terbaru dan tengok video menarik, mudah dan best kat situ dan jangan lupa like Facebook kami yea.

Bahan-bahan kuih keria dan cek mek molek:

  • 600 gram Keledek Manis
  • 1 Cawan Tepung Gandum (Anggaran)
  • 2 Sudu Besar Tepung Beras
  • 1 sudu kecil Serbuk Penaik
  • 1/2 sudu kecil Garam
  • 1/2 Cawan Gula
  • 1/4 Cawan Air
  • 1 Sudu Besar Tepung Gandum

Cara-cara untuk membuat kuih keria dan cek mek molek:

  1. Rebus keledek sehingga empuk. Angkat, toskan dan buang kulitnya.
  2. Lecek keledek sehingga hancur.
  3. Tambahkan tepung gandum, tepung beras, serbuk penaik dan garam. Gaul sehingga sebati.
  4. Untuk membuat kuih cek mek molek, ambil sedikit adunan bentukkan adunan di tapak tangan menjadi bulat. Leperkan dan buat bentuk macam mangkuk. Letakkan gula ditengahnya dan bungkuskan dengan kemas kemudian bentukkan bujur.
  5. Goreng sehingga kekuningan dan angkat.
  6. Untuk membuat kuih keria pula, ambil sedikit adunan dan bentukkan adunan menjadi bulat di tapak tangan. Leperkan sedikit dan buat lubang di tengahnya macam cincin.
  7. Goreng sehingga kekuningan dan angkat.
  8. Kemudian, masak gula dan air sehingga mendidih dan likat.
  9. Masukkan kuih keria yang telah digoreng tadi dan sira sehingga rata.
  10. Taburkan sedikit tepung gandum, tujuannya supaya gula tidak cepat cair.
  11. Kacau lagi sehingga rata kesemuanya dan boleh tutup api.
  12. Jangan berhenti kacau, tunggu sehingga gula menjadi kering dan bersalut dengan kuih. Siap!
Kuih Keria
Kuih Keria
Kuih Keria
Kuih Keria

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo