Resepi Apam Gula Hangus Yang Lembut Dan Gebu

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hi semua. Kali ni saya nak kongsikan salah satu resepi kuih traditional iaitu kuih apam gula hangus. Resepi ni saya jumpa di Google dan nampak ada ramai yang dah mencubanya. So saya pun terus mencuba dan hasilnya sangat memuaskan. Apam ni sangat lembut dan gebu dan rasanya pula sangat sedap. Anak-anak saya suka sangat makan apam ni. Lepas masak je terus diaorang makan sampai 5, 6 biji seorang. Sedap sangat katanya! Hahaha.. Ada yang tanya resepi apam gula hangus ni boleh dibakar atau tidak? Sejujurnya saya belum pernah cuba bakar apam ni. Tapi kalau korang nak bakar apam ni boleh la cuba dan lihat sendiri hasilnya. Tapi, kalau tak jadi jangan marah saya yea.. Hehehe.. Saya juga pernah kongsikan beberapa lagi jenis apam sebelum ni. Antaranya ialah apam coklat kukus, apam pandan gebu, apam santan pelangi, apam nasi dan macam-macam lagi . Korang boleh pilih dan cuba buat mana-mana resepi apam yang korang suka. Boleh juga cari pelbagai resepi lain di YouTube Page kami.

Saya sediakan resepi apam gula hangus ni dalam sukatan cawan dan gram untuk memudahkan korang semua. Cara membuat apam ni sangat mudah dan bahan-bahannya juga senang untuk didapati. Selain guna mixer, boleh juga gunakan blender untuk membancuh bahan-bahan apam ni. Bahan utama dan yang paling penting ialah gula hangus. Gula hangus ni perlu dibuat berhati-hati kerana kalau gula yang dicairkan terlalu lama akan menyebabkan gula hangit. Jika gula yang dicairkan tu dah hangit korang perlu buat semula tau! Gula yang hangit akan rasa pahit, so kalau korang guna juga untuk buat apam ni ianya akan mempengaruhi rasa apam korang dan tak sedap nanti. Selain itu bahan lain seperti mentega boleh digantikan dengan marjerin. Tepung gandum pula seeloknya diayak dahulu supaya adunan lebih halus dan tidak mudah berketul-ketul semasa dipukul. Resepi apam gula hangus ni juga perlu diperap supaya adunan menjadi kembang dan ringan. Ini akan membuatkan apam menjadi lembut dan gebu selepas dikukus.

Korang boleh gunakan resepi ni untuk jualan atau makan sendiri. Untuk 1 adunan ni boleh menghasilkan 26 biji kuih apam (saya guna acuan kuih lompang size L). Boleh juga gunakan loyang yang besar untuk mengukus kuih apam ni. Tapi jika guna loyang yang besar korang perlu kukus apam ni selama 40-45 minit atau sehingga masak. Apam gula hangus ni sangat sesuai di jadikan hidangan untuk minum pagi atau petang ataupun boleh juga dibuat untuk majlis harijadi ataupun kenduri. Pada sesiapa yang suka kuih apam gula hangus yang legend ni boleh la lihat resepi penuhnya di bawah ni dan cuba buat untuk merasai sendiri keenakkannya. Selamat memcuba!

Saya ada sediakan video cara untuk membuat apam gula hangus kat atas ni. Korang boleh tengok dulu video kami supaya lebih senang dan mudah faham cara penyediaannya dan jangan lupa subscribe YouTube Channel kami dan jangan ketinggalan untuk lihat lebih banyak resepi terbaru yang mudah untuk dicuba serta jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-Bahan Untuk Apam Gula Hangus:

Bahan Untuk Gula Hangus:

  • 1 Cawan (200 gm) Gula
  • 1 Cawan (250 ml) Air Panas

Bahan-Bahan Lain:

  • 2 Biji Telur
  • ½ Cawan (125 ml) Minyak Jagung
  • 2 Sudu Besar Mentega
  • 2 Sudu Besar Susu Pekat Manis
  • 1 Sudu Kecil Soda Bikarbonat
  • 1 Sudu Kecil Esen Vanila
  • 1 ½ Cawan (190 gm) Tepung Gandum

Cara-Cara Untuk Membuat Apam Gula Hangus:

  1. Masukkan gula ke dalam periuk dan masak gula hingga keperangan. Kacau gula hingga rata dan perang keseluruhannya menggunakan api sederhana.
  2. Bila gula dah keperangan, masukkan air panas (masa ni gula akan menjadi keras). Terus kacau sehingga gula tersebut hancur dan cair semula. Angkat, ketepikan gula dan sejukkan.
  3. Dalam mangkuk lain masukkan telur, minyak jagung, mentega dan susu pekat manis. Pukul hingga semua bahan sebati menggunakan mixer atau boleh kisar menggunakan blender.
  4. Kemudian, masukkan soda bikarbonat, esen vanila dan gula hangus yang telah dicairkan tadi. Pukul lagi lebih kurang 1 minit hingga sebati.
  5. Masukkan tepung gandum, kemudian pukul lagi sehingga tepung sebati dan tidak berketul-ketul.
  6. Perapkan adunan selama 15 hingga ke 30 minit.
  7. Sementara itu boleh panaskan pengukus.
  8. Sediakan loyang atau acuan lompang dan sapukan dengan sedikit minyak masak supaya kuih apam tidak melekat dan mudah untuk dikeluarkan nanti.
  9. Ambil adunan apam tadi dan masukkan ke dalam acuan 3/4 penuh.
  10. Kukus apam selama 15 minit atau sehingga masak menggunakan api yang besar. Siap! Sedia untuk dihidangkan.

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo
Scroll to Top