Apam Puri Berinti Kastard Lembut.. Sukatan Gram & Cawan

Hai semua. Assalamualaikum. Untuk entri kali ni saya nak kongsikan resepi apam puri berinti kastard yang mudah, lembut dan sangat sedap. Apam puri ni memang menjadi kegemaran saya dari dulu lagi. Bila makan apam puri ni teringat pula semasa saya bekerja suatu ketika dahulu. Hampir setiap pagi saya akan singgah di gerai yang berdekatan dengan ofis saya yang ada menjual nasi lemak, mee goreng, nasi goreng dan pelbagai jenis kuih muih untuk sarapan pagi. Antara kuih yang menjadi pilihan saya sudah tentu la apam puri. Kuih apam puri yang dijual di gerai tu bewarna kuning dan ianya juga berinti kastard. Semua kuih yang di jual di gerai tu sangat sedap termasuk la apam purinya yang lembut dan cukup rasanya. Kuih muih yang dijual digerai tu memang laris, kalau saya terlambat sampai je memang selalu habis la kuih apam puri kegemaran saya tu.. Hahaha.. Memang nikmat sangat bila dapat makan kuih yang sesuai dengan selera kitakan! Bila teringat kenangan makan apam puri yang sedap kat gerai tu, maka timbul la idea untuk saya kongsikan pula resepi apam puri berinti kastard ni pada korang semua. Hehe..

Untuk resepi apam puri ni perlu sediakan inti dan juga kulitnya. Bahan-bahan untuk membuatnya tidak la terlalu susah kerana menggunakan bahan basic yang mudah untuk didapati. Untuk intinya saya gunakan inti kastard yang sinonim dengan apam puri. Mungkin boleh juga gantikan dengan inti kacang merah readymade yang ada dijual di kedai bahan kek@bakery untuk kelainan rasa dan citarasa jika suka. Tapi saya belum pernah lagi cuba, kalau korang suka boleh boleh la cuba. Hehehe.. Saya gunakan dua jenis tepung untuk membuat intinya iaitu tepung gandum dan juga tepung kastard. Untuk gula pula boleh tambahkan atau kurangkan mengikut tahap kemanisan yang sesuai dengan selera dan citarasa masing-masing. Semasa memasak inti ni gunakan api sederhana sahaja dan ianya perlu sentiasa dikacau supaya tidak mudah hangit dan berketul-ketul.

Untuk kulitnya pula saya gunakan tepung gandum. Saya letakkan serbuk penaik, jika tiada serbuk penaik boleh juga gantikan dengan yis. Tepung boleh ditambah jika adunan terlalu cair dan jika adunan nampak pekat boleh tambahkan sedikit air. Korang boleh letak apa-apa pewarna makanan yang disukai mengikut kesesuaian dan warna kegemaran masing-masing. Kalau nak buat plain pun boleh juga, tak jadi masalah dan tak menjejaskan rasa apam puri ni. Hehehe. Sebaiknya gunakan kuali non-stick untuk memasak kulit apam puri ni supaya ianya tidak mudah melekat dan senang untuk diangkat selepas ianya masak. Kulit apam puri ni memang sangat lembut kerana ada campuran telur di dalamnya. Pada sesiapa penggemar apam puri berinti kastard macam saya, boleh la cuba buat sendiri di rumah untuk dihidangkan pada keluarga tersayang. Jom kita tengok resepi lengkap yang saya sediakan dalam sukatan cawan dan juga gram supaya lebih mudah disediakan. Selamat mencuba dan jumpa lagi di entri akan datang..

Untuk melihat cara penyediaan resepi apam puri berinti kastard ni korang boleh tengok dulu video yang telah saya sediakan kat bawah ni. Korang boleh tengok video yang kami sediakan supaya lebih senang dan mudah faham cara untuk membuatnya dan jangan lupa subscribe YouTube Channel kami untuk lihat lebih banyak resepi terbaru yang mudah untuk dicuba di situ, serta jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-Bahan Apam Puri Berinti Kastard:

Bahan Untuk Inti:

  • 1 Cawan (125 Gram) Tepung Gandum
  • 3 Sudu Besar Tepung Kastard
  • 3/4 Cawan (150 Gram) Gula
  • 3 Cawan (750 ml) Air
  • Pewarna Makanan Kuning

Bahan Untuk Kulit:

  • 2 Cawan (250 Gram) Tepung Gandum
  • 2 Sudu Besar Gula
  • 1 Biji Telur
  • 1 Sudu Kecil Serbuk Penaik
  • 1 Sudu Kecil Garam
  • 2 Cawan (500 ml) Air
  • Pewarna Makanan Hijau Dan Merah

Cara-Cara Untuk Membuat Apam Puri Berinti Kastard:

  1. Mula-mula sediakan inti kastard dahulu.
  2. Dalam mangkuk masukkan tepung gandum, tepung kastard, gula, air dan pewarna makanan kuning. Kacau sehingga sebati.
  3. Tapis dan tuangkan adunan ke dalam kuali.
  4. Masak adunan menggunakan api yang sederhana dan sentiasa kacau supaya tidak mudah hangit dan berketul-ketul.
  5. Adunan inti perlu di masak sehingga sederhana pekat dan jangan masak terlalu pekat kerana inti akan lebih pekat apabila telah sejuk. Angkat dan ketepikan.
  6. Sementara itu sediakan kulitnya.
  7. Dalam mangkuk masukkan tepung gandum, gula, telur, serbuk penaik, garam dan air. Kacau menggunakan whisk sehingga sebati dan tepung tidak berketul-ketul.
  8. Tapis adunan dan bahagian kepada 2 bahagian.
  9. Masukkan pewarna makanan merah untuk 1 bahagian dan pewarna makanan hijau untuk lagi 1 bahagian. Kacau rata.
  10. Panaskan kuali dan sapukan dengan sedikit minyak.
  11. Tuangkan adunan kulit ke dalam kuali secukupnya mengikut saiz yang diinginkan dan biarkan sehingga ianya kering dan masak.
  12. Setelah masak, angkat dan letakkan inti kastard tadi ditengahnya dan lipat dua. Tekan ditepi kulitnya sehingga melekat dengan kemas.
  13. Boleh juga gunakan acuan karipap untuk bentuk yang lebih cantik. Ulang langkah 11 dan 12 sehingga kesemua adunan habis. Siap! Sedia untuk dimakan.

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo