Ayam Goreng Sri Wangi Wajib Cuba!

Hai semua. Assalamualaikum. Hari ni saya nak kongsikan salah satu lagi resepi yang saya ambil daripada koleksi buku resepi Chef Wan iaitu ayam goreng sri wangi. Saya dah pernah beberapa kali masak ayam goreng ni untuk makan sendiri. Disebabkan rasa ayam ni sangat sedap, jadi saya nak kongsikan resepinya kepada semua follower kami. Siapa je yang tak kenal dengan Chef Wankan? Saya pasti semua orang mengenali beliau. Chef Wan memang seorang Chef yang cukup hebat dan berbakat apabila memasak, malahan beliau juga cukup terkenal di Malaysia mahupun di luar negara. Beliau mula dikenali ramai apabila diperkenalkan menerusi pelbagai rancangan masakan di televisyen, demonstrasi-demonstrasi masakan serta seminar industri makanan yang menjadikan beliau semakin popular. Rancangan-rancangan masakan beliau telah menarik minat penonton tempatan disebabkan beliau memaparkan langkah dan tips penyedian makanan yang mudah dan Chef Wan juga diminati kerana keletah beliau yang unik. Lawak jenaka beliau ketika berinteraksi dengan penonton menjadikan sesebuah rancangan masakan tersebut menarik dan mencuit hati. Hehehe.. Chef Wan juga telah menerbitkan pelbagai jenis buku resipi. Antaranya ialah Flavours of Malaysia, Selera Antarabangsa (MAS Golden Boutique 1996) iaitu kompilasi pelbagai resipi masakannya, Simply Sedap! Chef Wan’s Favourite Recipes, Sajian Raya Bersama Chef Wan dan banyak lagi. So, kalau nak lebih banyak resepi Chef Wan yang sedap-sedap, kena la dapatkan buku resepi dia. Hehe..

Berbalik kepada resepi ayam goreng sri wangi tadi, dalam resepi Chef Wan ni sebenarnya ada letak mayonis tapi saya tak letak sebab tak ada mayonis kat rumah. So, kalau korang ada mayonis boleh la letak yea. Tapi,  tanpa mayonis pun ayam goreng sri wangi ni dah sedap dah. Bahan untuk perapan ayam boleh ditambahkan dengan lada sulah, lada hitam atau serbuk cili jika inginkan rasa yang lebih pedas. Penggunaan bunga kantan serta daun limau purut dalam resepi ni membuatkan ianya berbau wangi dan aromanya membangkitkan lagi selera. Ianya bertambah sedap dengan sedikit rasa tomyam dan madu. Saya juga tambahkan capsicum dalam resepi ni sebagai penambah selera dan untuk lebih cantik warnanya. Masakan-masakan macam ni selalunya boleh dipelbagaikan mengikut citarasa dan selera masing-masing. Korang boleh tambahkan pelbagai sayuran lain mengikut kesesuaian dan selera masing-masing. Ayam goreng sri wangi ni memang sangat sedap dan rasanya memang lain dari yang lain. Makan macam tu je dengan nasi putih pun dan sedap, so korang wajib cuba resepi ni tau!  Selamat mencuba.

Kalau korang nak tahu cara penyediaan resepi ayam goreng sri wangi ni korang boleh tengok dulu video yang telah saya sediakan kat bawah ni. Korang boleh tengok video yang kami sediakan supaya lebih senang dan mudah faham cara untuk membuatnya dan jangan lupa subscribe YouTube Channel kami untuk lihat lebih banyak resepi terbaru yang mudah untuk dicuba di situ, serta jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-Bahan Ayam Goreng Sri Wangi

Bahan untuk ayam:

  • 250 gram Dada Ayam
  • 1 Biji Telur
  • Sedikit Garam
  • 1 Sudu Besar Sos Tiram
  • 1 Sudu Besar Tepung Jagung
  • 1 Sudu Besar Tepung Beras
  • Minyak Masak

Bahan lain:

  • ½ Biji Bawang Besar (ditumbuk)
  • ½ Batang Bunga Kantan (dihiris)
  • 1 Batang Serai (dihiris)
  • 1 Tangkai Cili Besar (dihiris)
  • 1 ½ Sudu Besar Pes Tomyam
  • Air Secukupnya
  • Lada Benggala (potong dadu)
  • 1 Sudu Besar Madu
  • 2 Helai Daun Limau Purut (dihiris)
  • Bunga Kantan (dihiris untuk hiasan)

Cara-Cara Untuk Membuat Ayam Goreng Sri Wangi:

  1. Sediakan ayam yang telah dipotong mengikut saiz yang sesuai.
  2. Gaulkan ayam bersama telur yang telah dipukul sedikit, garam serta sos tiram.
  3. Masukkan pula tepung jagung dan tepung beras. Kacau rata.
  4. Perap ayam selama selama 30 minit.
  5. Selepas ayam diperap, goreng ayam dalam minyak yang banyak sehingga garing dan kekuningan. Angkat dan toskan. Ketepikan dahulu.
  6. Sementara itu, panaskan sedikit minyak di dalam kuali kemudian tumis bawang besar, bunga kantan, serai dan cili besar merah (boleh gantikan dengan cili padi jika ingin rasa lebih pedas). Tumis sehingga naik bau.
  7. Masukkan pes tomyam dan sedikit air. Kacau hingga rata dan tumis lagi sehingga wangi.
  8. Kemudian, masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Gaul rata.
  9. Tambahkan lada benggala, madu dan hirisan daun limau purut. Kacau semuanya sehingga sebati. Siap! Boleh dihidangkan.

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo