Assalamualaikum dan hi semua. Apa khabar? Korang masak apa tu? Hari ni saya masak nasi tomato sebab adik saya nak datang ke rumah saya. Kalau korang nak resepi boleh tengok di sini. Kalau dah masak nasi tomato tu dah tentulah kena ada lauknya, betul tak? Ayam masak merah adalah salah satu lauk yang sinonim untuk di makan dengan nasi tomato dan di padankan pula dengan acar mentah timun atau ada juga yang panggil jelantah. Kombinasi ayam masak merah dan acar ni memang sangat sesuai untuk dijadikan hidangan ketika kenduri kahwin malahan sesuai juga untuk hidangan hari raya atau majlis keramaian. Jadi hari ini saya nak kongsikan resepi ayam masak merah yang sedap ini bersama dengan acar timun yang bukan biasa-biasa tau sebab acar ni saya campur dengan oren sunquick. Hehehe.
Mula-mula saya sediakan ayam masak merah dulu. Sebenarnya ada pelbagai cara dan resepi ayam masak merah ni. Tapi ayam masak merah saya buat ni resepi yang mudah dan simple namun rasanya memang sangat sedap. Saya gunakan bahan tumis empat sekawan dalam resepi masak merah ini untuk rasa dan aroma lebih sedap. Untuk kuahnya pula saya gunakan tomato puri. Tomato puri akan membuatkan rasa kuah ayam masak merah ni lagi sedap berbanding jika gunakan sos tomato biasa. Korang boleh tambahkan apa-apa bahan atau sayuran lain sebagai hiasan seperi kacang pea atau cili benggala jika suka mengikut citarasa masing-masing.
Acar Timun Sunquick
Ok seterusnya saya nak sediakan acar timun. Resepi acar timun ni di ajar oleh emak saya. Ianya sedikit berbeza dari acar timun biasa yang menggunakan cuka. Untuk acar timun ini saya gantikan cuka kepada oren sunquick untuk mendapatkan rasa yang lebih sedap. Acar timun ni kena la seimbang rasa manis, masin dan masamnya baru la sedap untuk dimakan. Korang boleh tambahkan sengkuang di dalam acar ni jika suka. Acar timun sunquick ni memang berbeza rasanya dari acar timun yang letak cuka tu tau! Kalau korang tak percaya cuba la buat yea. Hehehe.
Tapi sebelum tu, kalau korang nak senang faham cara membuat ayam masak merah dan acar timun sunquick ni, korang boleh tengok video yang saya kongsikan kat atas ni. Sambil tu jom subscribe YouTube Channel Buat Orang Lapo untuk mendapatkan latest recipe dan tengok video menarik, mudah dan best kat situ dan jangan lupa follow dan like Facebook kami yea.
Bahan-Bahan Ayam Masak Merah:
Bahan untuk ayam:
- 5 Ketul Ayam
- Garam
- Serbuk Kunyit
Bahan-bahan lain:
- Minyak Untuk Menumis
- 1 Kulit Kayu Manis
- 2 Bunga Lawang
- 2 Buah Pelaga
- 1 Batang Serai
- 2 Bawang Putih
- 1 Biji Bawang Besar
- 1 Inci Halia
- 2 Sudu Besar Cili Kering Kisar
- Air Secukupnya
- 3 Sudu Besar Sos Cili
- 1 Sudu Besar Tomato Puri
- Gula
- Garam
- Bawang Holand
- Tomato
Cara-Cara Untuk Membuat Ayam Masak Merah:
- Gaul ayam dengan garam dan kunyit sehingga rata. Perap ayam lebih kurang 30 minit.
- Goreng ayam separuh masak. Jangan goreng ayam sampai garing kerana ayam akan menjadi keras nanti. Angkat dan ketepikan dahulu.
- Sementara itu sediakan kuahnya. Panaskan minyak, masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan serai tumis sebentar.
- Masukkan bawang putih, bawang besar dan halia. Tumis sehingga naik bau.
- Kemudian, masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga garing.
- Masukkan sedikit air, tumis lagi sehingga cili garing dan pecah minyak.
- Kemudian, tambah sedikit air lagi dan ulangi proses ini sebanyak 3 kali sehingga cili betul-betul garing dan cili bertukar warna menjadi sedikit gelap.
- Masukkan sos cili dan tomato puri dan kacau hingga sebati.
- Tambahkan garam dan gula secukupnya dan seimbangkan rasa.
- Seterusnya, masukkan ayam dan tambah air secukupnya dan masak sehingga kuah sedikit pekat.
- Akhir sekali, masukkan bawang holand yang dihiris serta tomato sebagai hiasan dan tunggu sehingga sedikit layu dan sedia untuk dihidangkan.
Bahan-Bahan Acar Timun Sunquick:
- Timun
- Lobak Merah
- Bawang Besar
- Nenas
- Gula
- Garam
- Sunquick
Cara-Cara Membuat Acar Timun Sunquick:
- Masukkan timun, lobak merah, bawang besar dan nenas ke dalam mangkuk.
- Tambahkan gula, garam dan oren sunquick.
- Kacau rata dan seimbangkan rasa masin, manis dan masamnya. Siap! Sedia untuk dihidangkan.
Nak resepi lagi?
Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.
Join telegram kami
Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo