Hi semua. Assalamualaikum. Apa khabar? Hari ni saya nak kongsikan satu resepi kek yang sangat istimewa dan premium iaitu kek pisang coklat kayangan tanpa menggunakan telur. Tapi kenapa nama dia kek pisang coklat kayangan eh??? Kek ni turun dari kayangan ke? Haha.. Actually nama kayangan tu disebabkan kek pisang coklat ni menggunakan coklat dan juga kekacang yang mahal dan banyak yang menjadikan kek ini nampak mewah seolah-olah dari kayangan.. Lebih banyak coklat dan kekacang yang korang guna lagi sedap la kek pisang coklat ni. Namun, pastikan coklat dan bahan-bahan yang digunakan semuanya yang premium tau, baru la kayangan tahap dewa kek korang nanti! Hahaha. Selain kek pisang coklat ni, saya juga pernah kongsikan beberapa jenis kek pisang yang lain. Antara kek pisang yang paling sedap dan senang nak buat adalah kek pisang bersama coklat rice ni. Cuma menggunakan blender untuk buat kek pisang tu. Jangan lupa cuba tau.
Bahan utama dalam resepi ni sudah tentulah pisang. Saya gunakan pisang canvendish yang masak ranum. Pisang canvendish ni tajaan dari FAMA untuk team buat orang lapo. Jadi saya gunakan pisang ni untuk membuat resepi kek pisang coklat kayangan atas permintaan ramai. Jika tiada, pisang berangan juga sesuai sebagai ganti untuk membuat kek ni. Saya tidak menggunakan telur dalam resepi ni, walaupun tidak menggunakan telur kek ni tetap gebu gebas tau! Hehe. Saya gunakan buttermilk iaitu campuran susu segar dengan cuka dalam resepi ni. Boleh juga beli buttermilk yang siap jual di bakeri atau pasaraya. Penggunaan buttermilk di dalam kek akan membuatkan kek pisang coklat ni menjadi lebih moist. Disebabkan kek ni banyak menggunakan coklat, jadi penggunaan gula perang lebih sesuai kerana ianya kurang manis. Tapi jika nak gantikan dengan gula putih pun boleh juga, cuma kurangkan sedikit sukatannya kerana biasanya gula putih lebih manis dari gula perang.
Tepung dan koko serta bahan kering yang lain perlulah di ayak terlebih dahulu supaya kek jadi lebih gebu dan tidak mampat bila dah masak nanti. Badam pula boleh diganti atau dicampurkan sekali dengan kekacang lain seperti walnut, pistachio, hazelnut, pecan atau sebagainya mengikut selera dan citarasa masing-masing. Kek pisang coklat kluster kayangan ni kalau makan memang tak cukup sepotong, ditambah pula kalau minum dengan teh o panas memang kena sangat la dan pasti terangkat! Hehe.. Okay, selamat mencuba kek pisang kayangan ni bersempena Hari Raya Aidiladha. Selamat menyambut hari raya bersama keluarga tersayang!
Saya ada sediakan video cara penyediaan kek pisang coklat kluster kayangan kat atas ni. Boleh tengok dulu video kami supaya lebih senang dan mudah faham cara membuatnya dan jangan lupa subscribe YouTube Channel kami dan jangan ketinggalan untuk lihat lebih banyak resepi yang terbaru, best dan mudah dari kami serta jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.
Bahan-Bahan Kek Pisang Coklat:
Bahan untuk kek:
- 220 Gram Pisang Masak Ranum
- 150 Gram Tepung Gandum
- 40 Gram Serbuk Koko
- 1 Sudu Kecil Serbuk Penaik
- 1 Sudu Kecil Soda Bikarbonat
- 1/4 Sudu Kecil Garam
- 125 ml Susu Segar
- 1/2 Sudu Besar Cuka
- 1/2 Cawan @ 125ml Mentega Cair
- 1/4 Sudu Kecil Esen Vanila
- 130 Gram Gula Perang
- 1 Cawan Cip Coklat
- 1/2 Cawan Kepingan Badam
- Sedikit Tepung Gandum
Bahan untuk hiasan:
- Cip Coklat
- Hirisan Badam
Cara-Cara Untuk Membuat Kek Pisang Coklat:
- Kisar pisang menggunakan blender atau lenyek pisang sehingga hancur dan halus. Ketepikan.
- Ayak bahan kering iaitu tepung gandum, serbuk koko, serbuk penaik, soda bikarbokat dan garam. Boleh ayak 2 hingga 3 kali untuk dapatkan kek yang lebih gebu. Ketepikan dahulu.
- Campurkan susu segar dan cuka kacau rata dan rehatkan lebih kurang 5 hingga 10 minit.
- Dalam mangkuk besar, masukkan pisang yang dikisar tadi dengan mentega cair, esen vanila dan gula perang. Pukul sehingga sebati dan gula hancur.
- Masukkan pula susu yang di bancuh tadi, kacau sebati.
- Setelah itu, masukkan bahan kering yang telah di ayak tadi. Kacau sehingga sebati sahaja, jangan terlebih pukul kerana akan menyebabkan kek mampat selepas di bakar. Ketepikan dahulu.
- Dalam bekas lain campurkan cip coklat, kepingan badam dan tepung gandum. Gaul rata. Tujuannya supaya coklat dan badam tak tenggelam semasa kek dibakar.
- Kemudian, masukkan cip coklat dan badam ke dalam adunan kek tadi dan kaup balik sehingga rata sahaja.
- Sediakan loyang bersaiz 7 inci yang telah di oles dengan mentega dan dilapik dengan kertas pembakar.
- Masukkan kesemua adunan kek dan ratakan permukaannya.
- Taburkan cip coklat dan harisan badam di atas permukaan kek.
- Bakar pada suhu 175°C selama 50 hingga 55 minit atau sehingga kek masak. Cucuk dengan lidi untuk cek bahagian dalam masak atau tidak.
TIPS:
- Kalau dekat lidi tu masih ada adunan yang cair masih melekat maksudnya kek masih belum masak lagi.
- Tambah lagi masa memasak dan cek sehingga tiada lagi adunan yang melekat pada lidi.
- Setiap oven berbeza-beza jadi suhu yang diberikan adalah suhu dan juga masa anggaran.
- Jangan ralat kalau kek tak masak, tambah je lagi masa dan take note untuk future cooking. Siap dan sedia untuk dihidangkan.
Nak resepi lagi?
Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.
Join telegram kami
Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo