Kek Marble Jelita Viral Semudah ABC

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hi semua. Korang dah pernah cuba buat kek marble jelita yang tengah hot dan viral tu ke? Kalau belum jom saya kongsikan resepi kek marble jelita yang sangat sedap, mudah, gebu dan cantik menawan ni dan yang paling penting resepi ni pasti menjadi. Hehe.. Kek marble jelita ni menjadi fenomena dan viral di media sosial kerana mempunyai corak yang sangat cantik dan menarik dipermukaan atasnya di samping rasanya yang lembut dan sedap. Ini membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya akan tertarik dan ingin mencubanya. Kek marble jelita ni juga menjadi buah mulut di kalangan masyarakat bahkan hampir setiap hari kek ni lalu di wall masakan media sosial seperti di Facebook dan juga di Instagram. Sehingga ada di antara pengusaha kek yang tak menang tangan menerima tempahan kek marble jelita ni. Ianya menjadi sumber pendapatan yang lumayan bagi pengusaha kek setelah kek marble ini menjadi viral. Sehingga sekarang kek marble jelita ni masih lagi banyak permintaannya walaupun ada banyak lagi kek lain yang ada di pasaran. Hebat sungguh penangan kek marble jelita nikan!

Selain kek marble jelita ni ada lagi beberapa jenis kek lain yang viral pernah saya kongsikan sebelum ni, antaranya ialah kek batik indulgence, kek pisang coklat kayangan, kek coklat kukus dan macam-macam lagi. Korang boleh search je perkataan ’kek buat orang lapo’ kat google. Nanti jumpa macam-macam resepi daripada kami.

Sebenarnya ada pelbagai cara dan resepi untuk membuat kek marble jelita yang viral ni. Yang penting bahan-bahannya perlu cukup dan ikut saja cara-cara yang betul bagi penyediaannya. Cara yang saya kongsikan dalam resepi ni tersangat mudah sebab semua bahan (kecuali mentega) dimasukkan sekaligus dan pukul sehingga kembang dan gebu. Dalam resepi ni saya menggunakan tepung naik sendiri. Tetapi ada sedikit khilaf di dalam video tulis tepung gandum. Boleh juga jika korang gunakan tepung gandum tapi perlu dicampur dengan 1 sudu kecil serbuk penaik dan di ayak terlebih dahulu. Jadi, tiada masalah untuk gunakan mana-mana tepung yang korang suka. Kek marble jelita akan tetap elok dan menjadi juga. Hehe. Penggunaan ovalette dalam resepi ni untuk menstabilkan kek dan menambahkan kelembutan pada kek. Pastikan adunan dipukul sehingga gebu dan ringan sebelum masukkan mentega cair.

Untuk warna, saya cadangkan guna pewarna makanan berbentuk gel supaya warna kek akan jadi lebih cantik dan nampak berseri selepas di bakar. Pilihan warna untuk kek pula boleh disesuaikan mengikut citarasa dan kesukaan masing-masing. Bagi setiap warna yang dipilih, boleh tambahkan perisa yang berlainan. Contohnya jika warna merah boleh letak perisa strawberi, warna oren letak perisa oren, warna hijau boleh letak perisa pandan, jika warna ungu pula boleh letak perisa keladi dan sebagainya. Ini akan menjadikan rasa kek marble jelita ni bertambah sedap.

Corak di atas permukaan kek pula boleh di buat dengan pelbagai pilihan, samada lorekkan sahaja menggunakan lidi seperti yang saya buat, ataupun boleh lukis apa-apa corak pilihan hati seperti corak bunga, corak batik, kartun dan sebagainya mengikut kesukaan dan kreativiti masing-masing. Selepas kek masak, kek perlu dikeluarkan segera dari loyang dan diterbalikkan diatas redai supaya kek tidak akan mendap. Biarkan lebih kurang setengah hingga satu jam di atas redai untuk mendapatkan hasil corak petak-petak yang cantik dipermukaannya. Boleh tambahkan hiasan lain di atas kek dengan meletakkan manik warna warni, cip coklat dan sebagainya. So, pada sesiapa yang belum pernah buat kek marble jelita, korang boleh try resepi ni okay. Selamat mencuba!

Saya ada sediakan video cara untuk membuat kek marble jelita viral kat atas ni. Korang boleh tengok dulu video kami supaya lebih senang dan mudah untuk tengok cara dan step penyediaannya dan jangan lupa subscribe YouTube Channel kami dan jangan ketinggalan untuk lihat lebih banyak resepi terbaru yang mudah untuk dicuba serta jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-Bahan Kek Marble Jelita:

  • 150 Gram Mentega
  • 180 Gram Gula Kastor
  • 5 Biji Telur
  • 50 ml Susu Segar
  • 1 Sudu Kecil Esen Vanila
  • 2 Sudu Besar Ovalette
  • 220 Gram Tepung Naik Sendiri
  • Pewarna Makanan Gel

Cara-Cara Untuk Membuat Kek Marble Jelita:

  1. Cairkan mentega menggunakan api yang kecil supaya tidak mudah hangit. Ketepikan dahulu.
  2. Dalam mangkuk besar masukkan gula kastor, telur, susu segar, esen vanila, ovallate dan tepung naik sendiri. Pukul semuanya menggunakan mixer dengan kelajuan yang tinggi selama lebih kurang 10-15 minit sehingga betul-betul kembang, gebu dan ringan.
  3. Adunan yang telah betul-betul kembang dan gebu akan bertukar menjadi warna putih atau pucat.
  4. Kemudian, masukkan mentega yang telah dicairkan tadi. Kaup balik perlahan-lahan menggunakan spatula sehingga sebati sahaja. Jangan terlebih kacau kerana akan menyebabkan kek menjadi mampat selepas di bakar.
  5. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan letakkan pewarna makanan gel yang disukai.
  6. Sediakan loyang bersaiz 7 x 7 inci yang telah dioleskan dengan mentega dan dilapik dengan kertas pembakar.
  7. Masukkan adunan ke dalam loyang secara berselang seli bagi setiap warna. Buat sehingga adunan habis.
  8. Akhir sekali, lorekkan permukaan kek dengan menggunakan lidi mengikut kreativiti masing-masing. Boleh rujuk video.
  9. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 150°C selama 45-50 minit atau sehingga masak bergantung kepada oven masing-masing. Cucuk dengan lidi untuk cek bahagian dalam masak atau tidak.
  10. Kalau dekat lidi tu masih ada adunan yang cair masih melekat maksudnya kek masih belum masak lagi. Jangan risau jika kek masih belum masak, boleh tambahkan masa, namun kekalkan suhu yang rendah ketika membakar sehingga kek betul-betul masak. Siap!

Tips:

  • Mentega perlu dicairkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam adunan kek dan gunakan ketika masih suam supaya dapat mengekalkan kelembapan kek.
  • Suhu untuk membakar kek ni tidak boleh terlalu tinggi supaya permukaan kek tidak mudah gelap atau hangit. Ini akan menyebabkan corak di atas kek tidak nampak dan tidak cantik selepas di bakar.
Kek Marble Jelita
Kek Marble Jelita
Kek Marble Jelita

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo