Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hi semua. Korang masak apa untuk lunch hari ni? Kalau takde idea jom saya kongsikan dengan korang satu resepi yang memikat selera iaitu sambal ikan bilis cili padi dengan belimbing buluh. Sambal ni kalau sekali makan memang meletop-letop kesedapannya dalam mulut tau! Haha.. Memang boleh bertambah nasi kalau makan sambal ni di padankan pula dengan sayur lemak putih pucuk mulberri yang pernah saya kongsikan di sini. Fuhhh! Memang terangkat.
Belimbing buluh yang saya gunakan dalam resepi ni saya ambil dari kampung masa balik minggu lepas. Memang emak saya ada tanam pokok belimbing buluh ni di kampung. Buahnya lebat dan selalunya mak saya akan kutip buahnya dan rebus untuk di jadikan belimbing hitam. Belimbing buluh ni selain di buat belimbing hitam, boleh diletakkan ke dalam masakan atau gulai. Boleh juga digunakan untuk membasuh ikan sebagai pengganti asam. Banyak sebenarnya kegunaan belimbing buluh ni. Saya juga pernah kongsikan resepi nasi goreng belimbing hitam dan gulai ikan dengan belimbing hitam sebelum ni.
Berbalik kepada sambal tadi, bahan-bahan nak buat sambal ikan bilis cili padi ni senang je dan tak banyak pun. Bagi saya pemilihan ikan bilis adalah penting dalam resepi ni, pastikan ikan bilis yang digunakan adalah ikan bilis yang elok dan tidak hapak supaya tidak menjejaskan rasa sambal nanti. Ikan bilis perlulah di goreng sehingga garing dengan menggunakan api yang kecil. Tapi, jangan sampai hangus pula yea, sebab kalau hangus, ikan bilis akan rasa pahit dan sambal ikan bilis ni tak sedap nanti. Heheh.. Tahap kepedasan sambal ni pula boleh di sesuaikan mengikut selera korang sendiri. Kalau nak pedas boleh tambahkan cili padi atau kurangkan untuk kurang pedas.
Untuk mendapatkan sambal yang tahan lama dan sedap, cili padi perlu dimasak lama supaya cili betul-betul masak dan pecah minyak. Belimbing buluh pula boleh letak berapa banyak yang korang suka. Kalau yang suka lebih masam boleh la letak lebih banyak belimbingnya. Jika ada petai boleh juga dicampur sekali dalam sambal ni dan sudah tentu lagi sedap sambal korang nanti. Hehe.. Dalam resepi ni saya juga letakkan gula kabung @ gula melaka. Fungsinya untuk menaikkan rasa lemak serta mencantikkan warna sambal.
Di sini saya juga nak kongsikan tips untuk ikan bilis kekal garing dan rangup. Caranya ialah sambal cili padi yang telah masak perlulah di sejukkan terlebih dahulu sebelum digaul dan dicampur dengan ikan bilis yang telah di goreng. Dengan cara ini ikan bilis akan kekal rangup dan lebih sedap untuk dimakan. Sambal ikan bilis cili padi dengan belimbing buluh ni sesuai di makan bersama nasi putih. Sambal ni kalau masak lama boleh simpan dalam bekas kedap udara dan boleh tahan sampai seminggu tau! Boleh buat banyak-banyak dan simpan. Bila nak makan ambil je, senang bukan! Hehe.. Okay, jangan lupa untuk cuba resepi ni yea.. Jumpa lagi di entri akan datang!
Sambil korang tengok dan baca resepi ni jom subscribe YouTube Channel Buat Orang Lapo untuk mendapatkan latest recipe dan tengok video menarik, mudah dan best kat situ dan jangan lupa follow dan like Facebook kami yea.
Bahan-Bahan sambal ikan bilis cili belimbing buluh:
- 150 Gram Ikan Bilis
- 1 Biji Bawang Besar (dikisar)
- 3 Biji Bawang Putih (dikisar)
- 1 Biji Cili Besar Merah (dikisar)
- 20-25 Biji Cili Padi (dikisar)
- 1/2 Inci Belacan (dikisar)
- Garam
- Gula Kabung @ Gula Melaka
- Air
- 10 biji Belimbing Buluh (di belah 2)
Cara-Cara sambal ikan bilis cili belimbing buluh:
- Basuh dan toskan ikan bilis. Goreng ikan bilis sehingga garing menggunakan api yang kecil. Angkat dan ketepikan.
- Tumis bahan kisar sehingga garing dan masukkan air dan tumis lagi.
- Masukkan garam dan gula kabung @ gula melaka secukup rasa. Boleh tambahkan bahan perisa lain jika suka.
- Kemudian, masukkan belimbing buluh dan masak sehingga belimbing lembut. Tutup api dan biarkan sambal sejuk sepenuhnya.
- Setelah sambal sejuk, masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi dan gaul rata. Siap! Sedia untuk dinikmati.
Nak resepi lagi?
Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.
Join telegram kami
Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo