Assalamualaikum dan hi semua. Hari ni saya nak kongsikan cara untuk membuat kuih tradisional yang sangat mudah dan sedap iaitu kuih lompang. Kuih ni memang favourite saya. Kuih lompang yang saya buat ni berwarna coklat kerana saya menggunakan gula merah. Ada juga kuih lompang yang berperisa pandan dan berwarna-warni. Namun, saya lebih suka kuih lompang asli yang menggunakan gula merah macam yang saya buat ni. Hehe.. Resepi kuih lompang yang saya kongsikan ni memang sangat lembut. Kalau sukakan kuih lompang yang lebih kenyal, boleh tambah lagi 1/4 cawan tepung beras. Sukatan yang saya buat ni boleh menghasilkan lebih kurang 30 biji kuih lompng. Acuan yang saya gunakan bersaiz L. Kuih lompang ni boleh dijadikan sebagai idea jualan atau sedap juga dibuat sebagai hidangan minum pagi atau petang. Selamat mencuba!
Saya ada sediakan video kuih lompang kat atas ni. Korang boleh tengok dulu video kami supaya lebih senang dan mudah untuk lihat cara penyediaannya dan jangan lupa subscribe YouTube Channel kami dan jangan ketinggalan untuk lihat lebih banyak resepi terbaru yang mudah untuk dicuba serta jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.
Bahan-bahan untuk kuih lompang:
- ½ Cawan Gula Merah
- ½ Cawan Gula Putih
- 2 ½ Cawan Air
- 1 ½ Cawan Tepung Beras
- 1 Sudu Besar Tepung Ubi Kayu
- 1 Sudu Kecil Air Kapur
- ½ Cawan Kelapa Parut
- ½ Sudu Kecil Garam
Cara-cara untuk membuat kuih lompang:
- Masukkan gula merah, gula putih dan air ke dalam periuk. Masak sehingga gula hancur dan larut.
- Setelah air gula masak, tapiskan dan sejukkan dahulu sebelum digunakan.
- Kemudian, sediakan mangkuk dan masukkan tepung beras, tepung ubi kayu dan kesemua air gula tadi serta air kapur. Kacau sehingga kesemuanya sebati. Setelah sebati, tapiskan adunan untuk pastikan tiada tepung yang berketul-ketul dalam adunan. Ketepikan dahulu.
- Seterusnya, ambil acuan dan sapukan dengan sedikit minyak supaya kuih tidak melekat dan senang untuk dikeluarkan selepas dimasak.
- Kemudian, boleh panaskan dahulu air kukusan. Pastikan air kukusan mendidih dahulu sebelum mula mengukus adunan kuih lompang.
- Sementara menunggu air kukusan mendidih, langkah seterusnya, masukkan adunan tadi ke dalam acuan lebih kurang 3/4 penuh (boleh rujuk video). Buat sehingga adunan habis kesemuanya. Boleh kukus adunan selama 20 minit atau sehingga masak.
- Sementara menunggu kuih lompang masak, ambil kelapa parut dan campurkan dengan sedikit garam. Gaul sebati dan kukus lebih kurang 5 minit supaya kelapa tahan lebih lama dan lebih sedap.
- Setelah kuih lompang masak, sejukkan kuih dahulu dan boleh keluarkan dari acuan. Hidangkan kuih lompang dengan kelapa parut tadi. Siap!. Sedia untuk dimakan.
Nak resepi lagi?
Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.
Join telegram kami
Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo