Assalamualaikum. Kek chiffon adalah kek yang sangat ringan yang dibuat dengan minyak sayuran, telur, gula, tepung, serbuk penaik, dan perasa. Kek chiffon boleh di buat dengan pelbagai perasa seperti pandan, coklat, oren, strawberi dan sebagainya terpulang kepada citarasa masing-masing. Sebelum ni saya pernah membuat kek chiffon strawberi. Kali ni nak buat perisa pandan pula.
Tekstur kek chiffon sangat lembut dan ringan kerana kek ini menggunakan keadah meringue atau pengasingan putih telur yang dipukul sehingga kaku. Jadi, pastikan meringue betul-betul menjadi untuk mendapatkan hasil kek chiffon yang terbaik. Boleh baca tips untuk buat meringue kat bawah ni.
Kek chiffon selalunya dibakar dengan menggunakan loyang yang berlubang di tengah. Loyang pula tidak perlu dilenserkan atau disapu dengan apa-apa supaya kek tidak cepat jatuh apabila loyang diterbalikkan. Setelah kek masak, loyang perlu diterbalikkan di atas redai atau jaring sehingga sejuk. Apabila kek sejuk, sisipkan tepi dan tengah loyang untuk mengeluarkan kek. Lebih senang jika menggunakan loyang yang boleh dibuka bawahnya.
Sebelum mencuba kek chiffon ni, jom tengok cara penyediaannya dalam video yang saya sediakan ni. Lebih senang nak faham kalau tengok video.
Bahan-bahan Kek Chiffon Pandan:
- 5 Biji Kuning Telur
- 30gm Gula
- 100ml Santan Kelapa M&S
- 2 Sb Jus Pandan
- 1/2 sk Pewarna Makanan Hijau
- 100gm Tepung Kek
- 1 sk Serbuk Penaik
- 1/4 sk Garam
- 70ml Minyak Jagung
Meringue:
- 5 Biji Putih Telur
- 1/2 sk Cream Of Tartar
- 60gm Gula
Cara-cara:
- Pukul kuning telur dan gula sehingga sebati dan sedikit kembang.
- Masukkan santan, jus pandan dan pewarna hijau. Pukul sebati.
- Ayakkan tepung bersama serbuk penaik dan juga garam. Kemudian pukul bersama adunan tadi.
- Masukkan minyak jagung dan pukul lagi sehingga sebati.
- Untuk membuat meringue, pukul putih telur sehingga berbuih kasar dan masukkan cream of tartar. Pukul lagi sehingga berbuih halus.
- Masukkan gula sedikit demi sedikit sambil terus memukul sehingga putih telur menjadi ringan dan kaku. Gunakan kelajuan yang tinggi.
- Masukkan 1/3 bahagian meringue ke dalam adunan pertama tadi. Kaup balik secara perlahan sehingga rata. Kemudian masukkan lagi 1/3 bahagian meringue, kaup balik lagi dan masukkan bahagian terakhir meringue. Kaup balik sehingga adunan sebati.
- Masukkan adunan ke dalam loyang. Bakar pada suhu 150ºc selama 1 jam atau sehingga masak.
NOTA PENTING:
- Jangan sapukan loyang dengan apa-apa.
- Setelah masak, terus keluarkan kek daripada oven dan terbalikkannya di redai kek sehingga sejuk supaya kek tidak mendap.
Tips untuk membuat meringue (adunan putih telur) :
- Pastikan bekas untuk membancuh adunan, bekas untuk mengisi semua bahan, dan semua alatan untuk membuat meringue betul-betul bersih dan kering.
- Pastikan putih telur tak bercampur sedikit pun dengan kuning telur dan tidak terkena air, minyak dan sebagainya.
- Untuk memastikan meringue betul-betul kental, terbalikkan mangkuk selama lebih kurang 10 saat. Jika adunan tidak jatuh, meringue tu dah ok. Jika jatuh, pukul lagi sehingga kental.
- Pukul dengan kelajuan yang tinggi.
Nak resepi lagi?
Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.
Join telegram kami
Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo