Assalamualaikum. Hi semua. Dalam entri kali ini saya nak kongsikan dengan korang kek batik indulgence yang sedap sangat. Kek batik indulgence ni adalah salah satu resepi yang pernah viral di media sosial sebelum ni. Memang menggoda sungguh kek ni dengan lapisan cheese dan coklatnya yang mewah tu. Rasa cheesenya seakan-akan aiskrim dan digandingkan pula dengan coklat dan kek batik yang lembut.. perghhh.. memang terbaik dan terangkat! Sekali makan pasti nak lagi.. Memang tak cukup kalau makan sepotong! Hahaha.. Bagi sesiapa yang takde oven atau baru nak cuba belajar buat kek tu, resepi kek batik indulgence ni memang sesuai kerana ianya tidak perlu dibakar. Selain dari kek batik indulgence ni, saya juga pernah kongsikan resepi kek batik cheese dan kek batik vico sebelum ni.
Kek batik indulgence ni terdiri daripada 3 lapisan iaitu lapisan kek, cheese dan coklat. Lapisan pertama saya gunakan biskut marie. Tekstur kek ni lembut kerana ada campuran susu cair. Korang boleh gunakan biskut marie perisa asli ataupun gantikan dengan perisa coklat. Saya tidak menggunakan telur dalam resepi ni. Jadi ianya sesuai untuk sesiapa yang tidak boleh makan telur atau alah dengan telur. Saya pernah kongsikan kek batik yang menggunakan telur di sini. Untuk layer cheesenya pula, saya gunakan serbuk gelatin supaya cheese boleh mengeras dengan elok dan lebih cantik selepas dipotong. Saya hanya gunakan susu cair untuk lapisan cheese ni sebab whipping cream saya dah expired masa nak buat kek ni. Heheh.. Saya sarankan supaya korang gunakan whipping cream kerana hasilnya akan lebih sedap berbanding susu cair.
Untuk bahagian coklatnya pula saya gunakan coklat masakan gelap dan saya tambahkan dengan nuttella untuk rasa yang lebih sedap dan mewah. Seperti biasa jika ingin kek yang sedap pastikan guna coklat masakan yang premium okay. Saya juga gunakan susu cair untuk lapisan coklat ni, tapi jika inginkan rasa yang lebih dan sedap gantikan sahaja susu cair dengan whipping cream. Gunakan sukatan yang sama dengan susu cair sekiranya nak guna whipping cream. Kek batik indulgence ni sedap di makan semasa sejuk. Jadi, untuk merasai keenakkan rasanya apa tunggu lagi, jom kita buat kek batik indulgence yang sangat sedap dan confirm jadi ni. Selamat mencuba!
Sebelum korang nak cuba buat resepi kek batik indulgence ni apa kata korang tengok dulu video yang saya kongsikan kat atas ni untuk senang faham cara membuatnya. Sambil tu jom subscribe YouTube Channel Buat Orang Lapo untuk mendapatkan resepi terbaru dan jangan ketinggalan untuk lihat video yang menarik, mudah dan best kat situ dan jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.
Bahan-bahan kek batik indulgence:
Bahan Untuk Lapisan Kek:
- 300 gram biskut marie
- 1 buku (250g) mentega
- 1/4 cawan serbuk koko
- 1 cawan milo
- 3/4 cawan susu pekat
- 1/4 cawan susu cair
Cara-Cara:
- Patahkan biskut kepada beberapa bahagian. Ketepikan dahulu.
- Cairkan mentega dengan api yang kecil supaya tidak mudah hangit. Setelah mentega cair tutupkan api dahulu.
- Masukkan serbuk koko dan milo dan kacau dengan whisk sehingga sebati dan tidak berketul-ketul.
- Kemudian, masukkan susu pekat dan susu cair. Buka api semula.
- Kacau tanpa henti bancuhan tadi hingga likat.
- Bila bancuhan dah likat, tutup api dan biarkan ianya suam dahulu.
- Selepas itu, masukkan biskut marie, gaul rata sehingga kesemua bahagian biskut tersalut dengan bancuhan.
- Tuang biskut ke dalam loyang. Saya gunakan loyang spring form (supaya kek mudah untuk dikeluarkan) yang di alas dengan kertas pembakar. Tekan biskut tadi sehingga padat di dasar loyang dan simpan dahulu di dalam peti sejuk.
Bahan Untuk Lapisan Cheese:
- 1 sudu besar gelatin
- 50 ml air panas
- 250 gram cream cheese
- 1/2 cawan gula icing
- 1/2 cawan susu cair @ whipping cream (lebih sedap jika gunakan whipping cream)
Cara-Cara:
- Mula-mula campurkan gelatin dengan air yang betul-betul panas dan kacau sehingga larut. Ketepikan dahulu.
- Pukul cream cheese sehingga gebu (pastikan cream cheese telah lembut).
- Masukkan gula icing dan pukul sehingga kembang dan sebati.
- Kemudian, masukkan gelatin tadi dan pukul lagi sampai gelatin sebati.
- Masukkan susu cair @ whipping cream dan pukul lagi sehingga semuanya sebati.
- Tuang ke dalam loyang di atas lapisan biskut tadi dan ratakan. Simpan semula ke dalam peti sejuk supaya ianya keras.
Bahan Untuk Lapisan Coklat:
- 250 gram coklat masakan gelap
- 2 sudu besar nutella
- 1 sudu besar mentega
- 150 ml susu cair (ni pun lebih sedap guna whipping cream).
Cara-Cara:
- Cairkan coklat masakan, nutella, mentega dan susu cair @ whipping cream menggunakan kaedah double boiler.
- Setelah coklat cair, tuangkan ke dalam loyang di atas lapisan cheese tadi dan masukkan semula ke dalam peti sejuk dan biarkan semalaman supaya semua lapisan kek batik keras.
- Apabila kek batik dah keras keluarkan dari loyang dan potong. Siap! Sedia untuk di makan.
Nota:
- Boleh gunakan loyang biasa dan alaskan dengan plastik. Lebihkan plastik di bahagian tepi loyang supaya senang untuk tarik dan keluar kek.
- Tips untuk dapatkan potongan kek batik yang cantik dan licin, celupkan pisau ke dalam air panas dan lap pisau sebelum memotong kek batik dan ulang langkah yang sama pada setiap potongan kek batik.
Nak resepi lagi?
Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.
Join telegram kami
Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo