Roti Awan | Cloud Bread Viral Cantik Dan Gebu

Assalamualaikum dan hi semua. Apa khabar? Hari ni saya nak share resepi yang menjadi tular atau viral di media social baru-baru ni iaitu roti awan atau cloud bread. Kenapa ianya dipanggil roti awan?? Sebab bentuknya seakan-akan awan dan sangat gebu di dalamnya. Bila pertama kali saya ternampak roti awan ni lalu di wall saya memang menarik dan rasa teruja ingin mencubanya. Hehe. Cantik sangat bentuk dan warnanya, ianya seperti gula-gula kapas yang ada dijual dikedai-kedai dan di pasaraya tu. Walaupun rupa roti awan ni cantik dan teksturnya lembut dan gebu, namun bagi saya rasanya kurang sedap kerana ada bau dan rasa telur yang agak kuat. Tapi terpulang juga pada selera masing-masing mungkin ada yang suka rasanya macam tu, kalau tidak masakan resepi ni boleh jadi viralkan! Betul tak?? Heheh..

Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat roti awan ni tak banyak dan cara membuatnya juga mudah je. Walaupun nampak mudah, namun roti ni tak akan menjadi jika korang gagal menghasilkan meringue dengan sempurna kerana roti awan ni menggunakan teknik meringue. Meringue adalah teknik di mana telur putih dipukul dengan kelajuan yang tinggi sehingga menjadi kaku dan bertanduk. Korang boleh baca teknik dan tips selanjutnya untuk menghasilkan meringue yang sempurna kat bawah ni.

Roti awan ni boleh dibuat dengan pelbagai warna atau boleh dicampurkan dengan beberapa warna. Jika ingin campurkan beberapa warna asingkan adunan kepada beberapa bahagian dan letak pewarna yang disukai pada setiap bahagian. Roti awan yang saya buat ni plain je. Korang boleh tambahkan perisa atau emulco seperti strawberi, bluberri, epal, pisang atau sebagainya mengikut selera dan citarasa masing-masing. Dengan tambahan perisa ni, mungkin akan mengurangkan rasa dan bau telur yang agak kuat dan akan membuatkan roti ni lebih sedap.

Roti awan ni keras diluarnya selepas dibakar, tapi ianya akan bertukar menjadi lembik dan melekit setelah sejuk. Kalau nak buat roti awan ni banyak, korang boleh gandakan sahaja bahan-bahannya. So, pada sesiapa yang teringin dan teruja nak buat roti ni, korang boleh cuba sendiri dan lihat hasilnya nanti. Selamat mencuba!

Sebelum korang nak cuba buat resepi roti awan ni apa kata korang tengok dulu video yang saya kongsikan kat atas ni untuk senang faham cara membuatnya. Sambil tu jom subscribe YouTube Channel Buat Orang Lapo untuk mendapatkan resepi terbaru dan jangan ketinggalan untuk lihat video yang menarik, mudah dan best kat situ dan jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-Bahan Roti Awan:

  • 3 Biji Telur (gred A)
  • 30 gram gula
  • 10 gram Tepung Jagung
  • Pewarna Makanan

Cara-Cara Untuk Membuat Roti Awan:

  1. Asingkan putih telur dan kuning telur (gunakan putih telur sahaja).
  2. Pukul putih telur sehingga berbuih halus (soft peak).
  3. Kemudian masukkan gula sedikit demi sedikit sambil terus pukul adunan sehingga menjadi kaku dan bertanduk. Pukul dengan kelajuan yang tinggi.
  4. Kemudian, masukkan tepung jagung dan pukul lagi hingga sebati.
  5. Masukkan sedikit pewarna makanan yang disukai dan pukul sehingga rata.
  6. Sementara itu, panaskan oven lebih kurang 10 minit.
  7. Letakkan adunan tadi di atas tray atau dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas pembakar.
  8. Bentukkan adunan menjadi separuh bulat seperti awan.
  9. Akhir sekali, bakar adunan pada suhu 150°C selama 20 hingga 25 atau sehingga keperangan. Siap!

Tips untuk membuat meringue:

  • pastikan putih telur tidak tercampur dengan kuning telur atau terkena minyak, air dan sebagainya.
  • pastikan peralatan yang digunakan bersih dan kering dari segala minyak dan kekotoran.
  • pukul putih telur pada kelajuan yang tinggi sehingga bertanduk (putih telur tidak jatuh bila terbalikkan mangkuk atau bekas adunan)
  • gunakan telur yang baru dan segar.
Roti Awan
Roti Awan
Roti Awan

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo