Kuih Peria Resepi Kuih Tradisional Digemari Ramai

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hai semua. Resepi kali ni saya kongsikan cara untuk membuat salah satu kuih tradisional iaitu kuih peria. Kalau sebut peria mesti terbayang sayur peria yang pahit tu kan? Tapi kuih ni rupa je seakan-akan sayur peria, tapi rasanya langsung tak pahit.. just lemak, kenyal dan manis dari intinya. Hehehe.. Kuih peria ni adalah salah satu kuih tradisional yang masih diminati ramai sehingga sekarang. Bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas”. Saya juga salah seorang peminat kuih ni. Mak saya di kampung selalu buat kuih peria ni untuk jualan di gerainya. Memang laris jualan kuih ni kerana ada peminatnya yang tersendiri.. Warna yang popular untuk kuih peria ni ialah warna hijau dan merah. Namun sekarang, ada pelbagai warna lain antaranya warna kuning, ungu, oren, biru dan lain-lain lagi. So, korang boleh pilih apa sahaja warna kegemaran yang korang suka untuk membuat kuih peria ni.

Kuih ni agak mudah untuk dibuat kerana hanya memerlukan beberapa bahan sahaja. Inti kuih ni pula boleh dipelbagaikan mengikut citarasa masing-masing. Saya gunakan inti kacang merah yang dibeli siap yang boleh di dapati di pasaraya atau bakeri. Kalau korang rajin, boleh buat sendiri intinya sama ada inti kacang merah, kacang hijau ataupun inti kelapa manis. Kuih ni rasanya lebih kurang seperti kuih buah melaka kerana bahan untuk membuat dohnya pun hampir sama. Cuma ada tambahan santan dan ianya perlu dikukus. Saya alaskan kuih ni dengan daun pisang, jika tiada daun pisang boleh terus letak kuih dalam pengukus dan kukus macam biasa.

Corak pada kuih peria ini biasanya menggunakan garfu atau pengepit. Namun di sini saya nak kongsikan tips untuk mendapatkan corak yang lebih cantik dengan menggunakan sarung buah epal atau lai. Sarung buah tu perlu dibasuh bersih dan dikeringkan dahulu sebelum digunakan. Pada saya, lebih senang dan cepat kalau gunakan sarung buah ni berbanding menggunakan garfu. Malah coraknya akan jadi lebih cantik dan menarik. Kalau kuih yang kita buat tu cantik dan menarik sudah tentu lagi teruja kita atau sesiapa sahaja nak makankan! betul tak? Hehehe.. Kuih peria ni sesuai dijadikan sebagai menu sarapan pagi atau minum petang. Boleh juga dijadikan idea sebagai jualan bagi yang berniaga tu. So, kepada peminat tegar kuih tradisional, kuih peria ni wajib dicuba. Selamat mencuba!

Sebelum korang cuba buat resepi kuih peria ni apa kata korang tengok dulu video yang saya kongsikan kat atas ni untuk senang faham cara membuatnya. Sambil tu jom subscribe YouTube Channel Buat Orang Lapo untuk mendapatkan latest recipe dan jangan ketinggalan untuk lihat video yang menarik, mudah dan best kat situ dan jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-Bahan Untuk Kuih Peria:

  • 2 Cawan Tepung Pulut
  • 2 Sb Tepung Gandum
  • ½ Sk Garam
  • Lebih kurang 1 Cawan Santan Cair
  • Pewarna Makanan
  • Inti Kacang Merah
  • Daun Pisang

Cara-Cara Untuk Membuat Kuih Peria:

  1. Masukkan tepung pulut, tepung gandum, garam dan santan cair sedikit demi sedikit ke dalam mangkuk.
  2. Uli sehingga menjadi doh yang lembut dan boleh dibentuk (tak perlu habiskan santan jika doh dah lembut).
  3. Bahagikan doh kepada dua bahagian dan letakkan pewarna makanan merah dan hijau pada setiap satu doh.
  4. Uli lagi sehingga warna menjadi sekata dan sebati dengan doh. Ketepikan dahulu.
  5. Ambil inti kacang merah dan bentukkan bujur supaya senang untuk dimasukkan ke dalam doh.
  6. Kemudian ambil sedikit doh tadi, bulatkan dan leperkan kemudian masukkan inti kacang merah tadi. Seterusnya bentukkan doh menjadi bujur.
  7. Selepas itu letakkan doh di atas sarung buah dan gulungkan supaya menjadi corak (boleh rujuk video).
  8. Letakkan kuih di atas daun pisang yang telah di sapu dengan sedikit minyak masak.
  9. Akhir sekali, sapukan sedikit minyak masak pada permukaan kuih sebelum di kukus.
  10. Panaskan kukusan sehingga air mendidih dan kukus kuih peria selama 15 minit atau sehingga masak. Siap! Sedia untuk di makan.

Nota:

  • Kuih peria perlu di sapu dengan sedikit minyak masak sebelum dikukus supaya nampak berkilat dan lebih cantik.
  • Daun pisang juga perlu disapu dengan sedikit minyak masak supaya kuih peria tidak melekat pada daun pisang selepas dikukus.

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo