Agar-Agar Kek Gulung Resepi Mak, Mudah Dan Menarik

Hi semua. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari ni saya nak kongsikan resepi yang istimewa iaitu agar-agar kek gulung. Idea nak buat agar-agar kek gulung ni dicetuskan oleh mak saya. Masa saya telefon mak saya di kampung pada minggu lepas mak saya cadangkan dan memberi idea untuk membuat agar-agar ni. Mak saya cakap, resepi ni dia pelajari ketika dia muda dahulu. Waktu tu mak saya selalu pergi ke kelas-kelas masakan yang dianjurkan oleh kaum-kaum ibu dikampung saya. Di situ, mereka saling bertukar-tukar resepi dan idea masakan masing-masing. Bila makan agar-agar ni teringat nostalgia dulu-dulu semasa kami kecil. Memang mak saya selalu buat agar-agar ni sebagai hidangan pemanis mulut untuk kami sekeluarga. Kadang-kadang tak sabar nak tunggu agar-agar ni keras. Bila dah keras je, kami semua berebut-rebut makan. Memang seronok bila ingat balik zaman kanak-kanak. Tapi itu dulu kenangan yang tidak dapat dilupakan… Hehe.. Dan sekarang, mak saya pula ajar saya cara untuk membuat agar-agar kek gulung ni dan saya kongsikan kepada korang semua supaya kita boleh sama-sama manfaatkan ilmu ni.

Selain dari agar-agar kek gulung ni saya juga pernah kongsikan beberapa agar-agar lain yang tidak kurang menariknya, antaranya adalah agar-agar roti, agar-agar koktel aiskrim, agar-agar bandung cincau dan macam-macam lagi. Boleh taip keyword ‘agar-agar buat orang lapo’ atau ‘puding buat orang lapo’ di Google. Nanti korang akan jumpa pelbagai jenis resepi agar-agar dan puding yang pernah saya buat.

Bahan-bahan untuk membuat agar-agar ni mudah dan tak banyak pun. Korang hanya perlukan kek gulung perisa pandan sebagai bahan utama. Kek gulung ni boleh digantikan dengan apa-apa kek lain jika tiada. Tapi saya lebih suka guna kek gulung ni kerana hasilnya lebih cantik dan menarik apabila siap nanti! Untuk resepi kali ni saya buat agar-agar perisa pandan dan lapisan atasnya saya campurkan dengan susu segar. Susu segar boleh digantikan dengan susu cair atau santan terpulang pada selera masing-masing.

Agar-agar ni juga boleh dibuat dengan pelbagai perisa lain. Contohnya jika inginkan perisa coklat atau milo, korang boleh gunakan kek gulung perisa coklat dan campurkan sedikit koko atau milo yang dibancuh dengan air panas ke dalam agar-agar semasa memasak agar-agar. Jika inginkan perisa lain, gunakan kek gulung vanila dan campurkan sahaja perisa laici, oren, strawberi atau apa yang sesuai semasa memasak agar-agar. Dengan adanya pelbagai perisa dan warna sudah tentu agar-agar kek gulung ni jadi lebih sedap dan menarik bukan?

Agar-agar yang ada kek di dalamnya ni sangat sedap jika dimakan semasa sejuk. Rasanya lembut kerana agar-agar telah meresap ke dalam kek dan baunya juga wangi dari pandan. Agar-agar ni juga sesuai untuk dijadikan sebagai sajian untuk majlis harijadi atau keramaian kerana rupanya yang sangat cantik dan menarik bagi sesiapa yang melihatnya. Saya gerenti semua tetamu yang datang akan memuji agar-agar ni. Heheh.. So, kalau korang nak rasa betapa sedapnya agar-agar ni, apa lagi jom la cuba buat! Okay, sampai berjumpa lagi di entri akan datang.

Saya ada sediakan video cara membuatnya kat atas ni. Boleh tengok dulu video kami supaya lebih senang dan mudah faham cara penyediaannya dan cara membuatnya dan jangan lupa subscribe YouTube Channel kami dan jangan ketinggalan untuk lihat lebih banyak resepi yang terbaru, best dan mudah di situ serta jangan lupa untuk follow dan like Facebook kami okay.

Bahan-Bahan Agar-Agar Kek Gulung:

  • Kek Gulung Perisa Pandan
  • 3 Cawan (750ml) Air
  • 170gm Gula
  • 1 Paket (10 gram) Serbuk Agar-Agar
  • Daun Pandan
  • Pewarna Makanan
  • 100ml Susu Segar

Cara-Cara Untuk Membuat Agar-Agar Kek Gulung:

  1. Potong kek gulung lebih kurang 1 inci atau mengikut ketebalan yang diinginkan. Ketepikan dahulu.
  2. Masukkan air, gula dan serbuk agar-agar ke dalam periuk, masak dan kacau sehingga gula larut.
  3. Masukkan daun pandan dan sedikit pewarna makanan hijau dan kacau lagi sehingga agar-agar menjadi pekat. Tutup api.
  4. Sediakan loyang bersaiz 7 inci dan masukkan sedikit agar-agar (lebih kurang 2 @ 3 senduk) ke dalam loyang.
  5. Susun kek gulung yang telah dipotong tadi sehingga memenuhi dasar loyang.
  6. Kemudian, letakkan lagi agar-agar di atas kek gulung sedikit demi sedikit supaya agar-agar meresap ke dalam kek gulung.
  7. Letak agar-agar sampai semua permukaan kek gulung tenggelam sahaja. Jangan letak terlalu banyak agar-agar kerana kek gulung akan timbul.
  8. Selepas itu, sejukkan sebentar supaya agar-agar tadi keras sedikit.
  9. Sementara itu, panaskan semula lebihan agar-agar di dalam periuk tadi dan masukkan susu segar.
  10. Kacau sampai agar-agar tadi menjadi pekat semula. Setelah agar-agar pekat, kecilkan api supaya agar-agar tidak mengeras sementara menunggu agar-agar dalam loyang tadi sejuk.
  11. Kemudian letakkan kesemua lebihan agar-agar yang telah dicampurkan dengan susu segar di dalam loyang yang berisi agar-agar dan kek gulung tadi.
  12. Sejukkan dahulu di luar ataupun letakkan di dalam peti sejuk supaya agar-agar menjadi keras. Siap! Sedia untuk di hidangkan.
Agar-Agar Kek Gulung
Agar-Agar Kek Gulung
Agar-Agar Kek Gulung

Nak resepi lagi?

Tengok senarai video resepi dibawah ini. Kami akan tambah koleksi video resepi yang menarik dari semasa ke semasa. Follow blog dan subscribe channel youtube kami untuk dapatkan resepi yang terkini.

Join telegram kami

Join channel telegram kami untuk mendapatkan notifikasi video dan juga blog yg terbaru. Klik link ini https://t.me/buatoranglapo

Join Telegram@buatoranglapo
Scroll to Top